Penafian TMJ buka peluang kelab 3P sambar bekas striker Barcelona


  • Podium
  • Rabu, 26 Jun 2024

Fydriszewski dilaporkan berada dalam radar JDT yang mahu menguatkan lagi jentera serangan mereka. — Agensi

KHABAR angin mengenai perpindahan penyerang kelahiran Argentina, Francisco Fydriszewski ke Johor Darul Ta'zim (JDT) sudah menemui jawapannya apabila pemilik skuad Harimau Selatan, Tunku Ismail Idris sendiri menepis desas-desus tersebut.

"Tidak," katanya ringkas menerusi satu komen di laman Instagram MakanBola baru-baru ini.

Respons ringkas daripada Tunku Ismail atau lebih dikenali sebagai TMJ itu sudah cukup memperjelaskan bahawa Harimau Selatan akan kekal menggunakan Bergson Da Silva sebagai peledak utama mereka.

BACA LAGI: Penyerang Barcelona disebut bakal ganti Bergson, TMJ pula beri kata sepatah

BACA LAGI: Prestasi bersama skuad kebangsaan antara sebab JDT mungkin kehilangan Jalil Elias

Ura-ura Fydriszewski sedang dipantau oleh juara 10 kali Liga Super itu bermula apabila seorang wartawan di Eropah, Joaquin Saavedra mendakwa pemain berusia 31 tahun itu akan berhijrah ke pasukan baharu.

"Fydriszewski tidak akan kekal bersama Barcelona untuk separuh musim kedua Liga Pro 2024 dengan kelab itu sedang bersedia akan pemergiannya. Dia sudah mendapat dua tawaran dengan salah satunya daripada JDT," katanya.

Walaupun gosip perpindahan mengaitkan Fydriszewski dengan JDT sudah tidak relevan namun ia sebenarnya membuka peluang kepada pasukan Liga Super lain untuk cuba menghubunginya.

Justeru itu, kali ini Majoriti menyenaraikan tiga pasukan yang dilihat sesuai untuk menyambar khidmat bekas pemain yang pernah beraksi di kelab berpangkalan di Ecuador, Barcelona SC.

1) Penang FC

rodrygo

Rodrygo menyertai Penang pada jendela perpindahan awal musim ini. — Facebook/PenangFC

Sejak Lucas Silva meninggalkan Penang FC pada akhir musim 2022, Harimau Kumbang masih tidak menemui penyerang tengah tulen yang boleh menjadi peledak mereka bagi setiap perlawanan liga.

Saingan musim 2023, pasukan Utara tanah air itu menerima khidmat penyerang Brazil, Giovane Gomes dan pemain kelahiran Ireland iaitu Abdul Abdeen Temitope namun kedua-duanya kurang memberikan impak di bahagian serangan.

Musim ini juga menyaksikan Penang sekali lagi ditimpa masalah sama apabila penyerang tengah mereka iaitu Rodrygo Dias seolah-olah masih tidak menyesuaikan diri dengan Harimau Kumbang.

Setakat tiga perlawanan domestik, Rodrygo baru mencetak satu jaringan gol buat Harimau Kumbang dan nasibnya boleh berada di hujung tanduk sekiranya kekal dengan persembahan kurang memuaskan.

Oleh itu, sebagai persediaan mencari pengganti Rodrygo, Penang FC boleh melaburkan wang mereka untuk membawa pemain berkualiti seperti Fydriszewski menjelang jendela perpindahan pada Ogos nanti.

2) Perak FC

clayton

Clayton masih belum membuka akaun jaringan bersama Perak. — Facebook/PerakFC

Memasuk bulan kedua Liga Super sudah berjalan, pihak pengurusan Perak FC juga masih digesa untuk mencari jalan penyelesaian dengan mendapatkan penyudah yang tajam di depan pintu gawang.

Bayangkan sahaja, semua tujuh gol yang sudah dicetak oleh anak-anak buah Yusri Che Lah terhasil dari pemain sayap, tengah dan bahkan tonggak pertahanan seperti Tommy Mawat dan Luiz Henrique juga mencatatkan nama sebagai penjaring.

Penjaring terbanyak Perak setakat ini adalah pemain sayap kiri, Lee Tae-min apabila tonggak kelahiran Korea Selatan itu sudah meledak dua gol dan ia terhasil ketika kemenangan pertama ke atas Kedah Darul Aman FC yang berakhir dengan keputusan 2-0.

Manakala, penyerang import mereka iaitu Clayton masih belum membuka akaun gol peribadi sehingga ramai mengharapkan agar Perak untuk terbuka mencari pemain baharu seperti Fydriszewski pada jendela perpindahan kedua nanti.

3) Sri Pahang

Kpah Sherman

Sherman (tengah) masih gagal jaringkan gol untuk Sri Pahang musim ini. — Facebook/Sri Pahang FC

Penghijrahan import berpengalaman, Kpah Sherman ke Sri Pahang pada musim lepas membuahkan hasil apabila dia meledak 12 gol dan tujuh hantaran bantuan dalam 24 perlawanan Liga Super musim lepas.

Penyerang Liberia itu bagaimanapun memasuki permulaan yang kurang baik bersama skuad Tok Gajah pada tahun keduanya, apabila Sherman masih belum mencatatkan sebarang jaringan.

Beraksi tiga kali dalam perlawanan bertemu Kelantan Darul Naim FC, Kuching City FC dan Johor Darul Ta'zim (JDT), Sherman bagaimana pun masih belum menjaringkan gol walaupun skuad Tok Gajah sudah menghasilkan tiga jaringan.

Situasi berkenaan jelas menunjukkan bahawa penyerang berusia 32 tahun itu semakin tidak relevan untuk menjadi penyerang utama dan sudah tibanya, Tok Gajah memburu pemain seperti Fydriszewski.

Untuk rekod, ketika bersama Barcelona SC untuk satu musim setengah, pemain tinggi lampai itu memiliki prestasi cukup memberangsangkan dengan sembilan gol dijaringkan dalam 11 aksi liga. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram