ADALAH menjadi satu yang janggal sekiranya Liga Malaysia (Liga M) tidak mempunyai pasukan Selangor FC.
Itulah ungkapan daripada pemerhati sukan tempatan, Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim yang berpendapat bahawa kemeriahan Liga M tidak akan dirasai sekiranya Selangor menarik diri.
Menurutnya, Selangor antara pasukan yang sudah lama bertapak dalam Liga M.
BACA LAGI: Legenda Harimau Malaya anggap desakan main liga luar tak efisien buat Selangor
BACA LAGI: Dari awal Liga M dilabel liga sarkas angkara 3 hukuman MFL bikin panas fans
Pemerhati sukan tempatan, Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim.
"Selangor merupakan pasukan yang lama, besar, berpengaruh dan penting dalam Liga Malaysia.
"Adalah menjadi satu yang janggal sekiranya Liga M tidak mempunyai pasukan Selangor.
"Saya tak fikir Selangor akan benar-benar tarik diri dan masih ada lagi jalan untuk win-win situation, boleh dibincangkan dan dirundingkan," katanya kepada Majoriti.
Menurutnya, terdapat kemungkinan besar naib juara Liga Super 2023 itu tidak akan menarik diri meskipun dengan pelbagai desakan dibuat penyokong mereka sendiri.
Tetapi, sekiranya keputusan drastik itu diambil, kemeriahan saingan bola sepak negara akan luntur berdasarkan kemegahan dan reputasi kelab Lembah Klang itu.
"Akan ada malapetaka besar sekiranya Selangor tak main Liga M tapi saya amat optimis bahawa Selangor tidak akan tarik diri.
"Kemeriahan, tarikan dan persaingan Liga M akan hilang sekiranya Selangor tarik diri," ujarnya.
Selangor FC akan berdepan cabaran Kuching City FC aksi suku akhir pertama Piala FA Sabtu nanti. — Facebook/Selangorfc
Zulakbal turut mengakui hanya skuad Gergasi Merah sahaja yang boleh memberi cabaran kepada juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT).
"Sebab semua tahu Selangor antara pasukan yang boleh memberi cabaran kepada Johor Darul Ta'zim.
"Selain Selangor, Terengganu FC dan Kedah Darul Aman antara kelab yang boleh bersaing berdepan JDT," katanya.
Ditanya mengenai spekulasi kelab lain mahu ikut jejak Selangor keluar Liga M, Zulakbal berpendapat bahawa ia merupakan perkara yang mustahil.
"Sehingga ke hari ini, saya tak pernah dengar lagi ada kelab lain merasakan diri mereka tidak diadili dengan baik oleh MFL.
"Jadi kalau ada pun kelab lain nak tarik diri, mungkin kelab itu ada hal peribadi sendiri.
"Jadi agak mustahil sekiranya kelab lain pun nak tarik diri berikutan kes Selangor itu," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram