Jafri Chew antara pelan B The Rhinos benam cabaran Sang Penyu


  • Podium
  • Jumaat, 28 Jun 2024

Sebahagian sesi latihan pasukan Sabah FC yang dilihat sudah bersedia untuk menghadapi cabaran Terengganu FC bagi aksi pertama suku akhir Piala FA Jumaat nanti. — Facebook/Sabahfc

PENYOKONG Sabah FC menerima berita sedih apabila pengendali kelab, Datuk Ong Kim Swee mengumumkan Sang Badak kehilangan empat tonggak untuk aksi suku akhir pertama Piala FA 2024 pada Jumaat.

Darren Lok, Miguel Cifuentes, Gabriel Peres dan Gary Steven Robbat merupakan empat tonggak yang terpaksa diketepikan untuk perlawanan menentang Terengganu FC susulan kecederaan yang dialami mereka.

Kunjungan Sabah FC ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu itu bukanlah mudah jika melihat kepada rekod bersih Sang Penyu yang masih belum tewas di laman sendiri.

BACA LAGI: Kalau Selangor tarik diri, siapa nak cabar JDT?

BACA LAGI: Legenda Harimau Malaya anggap desakan main liga luar tak efisien buat Selangor

Meskipun berdepan cabaran sukar, pengendali Sabah FC, Kim Swee bagaimanapun tidak gusar dengan persediaan tersebut dan dilaporkan tetap bersedia dengan pelan B.

Ketiadaan penyerang tulen The Rhinos, Darren Lok dijangka akan menambah derita Sang Badak untuk meraih keputusan positif di laman lawan Jumaat nanti.

Dalam pada itu, Majoriti menyenaraikan tiga pemain Sabah yang dijangka boleh mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Darren.

WhatsApp Image 2024-06-27 at 21.55.44

Jafri Chew dijangka mencetak gol dalam perlawanan aksi pertama suku akhir Piala FA berdepan Sang Penyu. Facebook/Sabah FC

1) Jafri Chew

Pemain Sabah FC, Jafri Chew dilihat semakin menemui sentuhan jaringannya selepas tampil cemerlang dalam beberapa perlawanan Liga Malaysia (Liga M) sebelum ini.

Meskipun sering diturunkan dalam babak kedua, Jafri tampil cemerlang dengan mencetak gol apabila diberi kepercayaan oleh Kim Swee.

Setakat ini, Jafri sudah mencetak dua gol selepas empat perlawanan Liga Malaysia bagi musim 2024/2025.

Dalam pada itu, Jafri merupakan antara individu yang sesuai untuk menggalas tanggungjawab yang ditinggalkan oleh penyerang Harimau Malaya itu untuk aksi getir berdepan Sang Penyu.

Jadi, sekiranya Kim Swee memberikannya peluang untuk menurunkan Jafri sebagai kesebelasan utama, sudah pasti pemain kelahiran Pulau Pinang itu dijangka berpotensi memburu mata pertama.

WhatsApp Image 2024-06-27 at 21.55.43

Ramon sudah mencetak empat gol selepas empat perlawanan Liga M yang pastinya mampu memberi tekanan kepada pihak lawan. — Facebook/Sabah FC

2) Ramon Machado

Penggempur Sabah FC, Ramon Machado yang dibawa masuk jendela perpindahan kedua musim lalu terus menunjukkan kualiti sebagai seorang penyerang.

Penyerang kelahiran Brazil itu sering menjadi kesebelasan utama Sang Badak dalam membantu jentera serangan The Rhinos.

Kehadiran Ramon di atas padang dilihat mampu mengucar-ngacirkan benteng pertahanan pihak lawan yang sekali gus menyaksikan pintu gawang lawan berjaya dirobek olehnya.

Setakat ini, Ramon sudah mencetak empat gol selepas empat perlawanan Liga M yang pastinya mampu memberi tekanan kepada pihak lawan.

Sudah pasti gandingan antara Jafri dan Ramon dijangka mampu memberi tekanan kepada Sang Penyu dalam meraih kemenangan di laman sendiri Jumaat nanti.

Azhad

Bakat Azhad seakan-akan terkubur di Sabah FC setelah dia kurang mendapat minit permainan. — Facebook/ Sabah FC

3) Azhad Harraz

Nama pemain muda Sabah FC, Azhad Harraz Arman antara pemain yang boleh menggalas tugas Darren nanti.

Meskipun kini beraksi bersama Sabah FC Bawah 23 Tahun (B-23) namun pemain berusia 21 tahun itu dijangka mampu beraksi untuk skuad senior.

Walaupun beraksi di posisi yang berbeza namun Azhad Harraz membuktikan bahawa dia prospek muda yang wajar digilap oleh Sabah FC.

Menariknya, Azhad antara watak penting yang membantu Sabah mencetak dua gol aksi berdepan Keningau FA dalam perlawanan pramusim April lalu.

Dalam pada itu, Kim Swee memiliki pilihan sama ada mahu menurunkan Jafri atau Azhad dalam aksi berdepan Terengganu nanti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram