KEMENANGAN Hungary dalam aksi terakhir Kumpulan A Euro 2024 tidak datang dengan mudah apabila salah seorang pemain skuad tersebut mengalami kecederaan patah tulang pipi.
Dalam aksi terakhir kumpulan tersebut, pertembungan antara Hungary dan Scotland terhenti seketika apabila penyerang utama The Magyars, Barnabas Varga tidak sedarkan diri selepas dirempuh penjaga gol lawan.
Insiden membabitkan Varga itu berlaku pada minit ke-71 perlawanan ketika The Magyars mengambil sepakan percuma menerusi pemain tengah Liverpool, Dominik Szoboszlai.
BACA LAGI: Tepat masanya, Nafuzi pertahan lambat masukkan Syafiq Ahmad dan Ezebener Assifuah
BACA LAGI: Bukan sahaja import Korea Selatan, Tan Cheng Hoe disebut antara 'big change' JDT?
Tatkala kedua-dua pasukan berebut bola yang dihantar Szoboszlai dalam kotak penalti, Varga berlanggar dengan penjaga gol The Tartan Army, Angus Gunn.
Menyedari penyerang Ferencvaros itu tidak sedarkan diri, pemain-pemain Hungary segera memberi isyarat kecemasan.
Sesetengah pemain bertindak berkumpul mengelilingi Varga dan beberapa orang yang lain berlari membawa pengusung masuk ke padang.
Perlawanan kemudiannya dihentikan selama tujuh minit bagi membolehkan rawatan diberi kepada kedua-dua pemain.
Varga kemudiannya diusung keluar dari padang sebelum dibawa ke hospital untuk menerima rawatan lanjut.
Susulan insiden itu, Persekutuan Bola Sepak Hungary (HFF) kemudiannya memaklumkan penyerang berusia 29 tahun itu mengalami konkusi dan keretakan pada bahagian tulang pipi.
“Beberapa tulang pada muka Barnabas Varga patah ketika perlanggaran berlaku dalam perlawanan dan juga mengalami konkusi.
"Bagaimanapun, Varga kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil selepas dikejarkan ke hospital," katanya.
The Magyars kemudiannya meraih gol kemenangan menerusi Kevin Csoboth pada minit ke-100 dan meraikan jaringan tersebut dengan menayangkan jersi nombor 19 Varga sebagai tanda solidariti.
Kekalahan tersebut menyaksikan Scotland tersingkir daripada saingan Euro 2024 selepas hanya mengutip satu mata dalam tiga perlawanan.
Hungary berpeluang mengiringi tuan rumah, Jerman dan Switzerland ke pusingan seterusnya dengan syarat mereka berada dalam kelompok empat pasukan ketiga terbaik. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram