Penyerang Barcelona disebut bakal ganti Bergson, TMJ pula beri kata sepatah


  • Podium
  • Selasa, 25 Jun 2024

Bergson sudah memasuki musim keempatnya bersama skuad Harimau Selatan sejak menyertai mereka pada 2021. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

KETAJAMAN penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT), Bergson da Silva masih tidak luntur kerana dia sudah menjaringkan dua gol dalam empat perlawanan Liga Super setakat ini.

Meskipun dia mengalami kecederaan musim lalu, penyerang prolifik dari Brazil berkenaan masih mempamerkan aksi terbaik seperti mana tahun-tahun sebelum ini.

Namun, baru-baru ini, muncul pula khabar angin mengatakan era Bergson bakal berakhir kerana skuad Harimau Selatan seakan-akan sudah menemui penggantinya.

BACA LAGI: Terengganu beri bayangan bintang pinjaman JDT turun aksi suku akhir Piala FA

BACA LAGI: Prestasi bersama skuad kebangsaan antara sebab JDT mungkin kehilangan Jalil Elias

WhatsApp Image 2024-06-25 at 11.43.19 AM

Fydriszewski dilaporkan berada dalam radar JDT yang mahu menguatkan lagi jentera serangan mereka. — Agensi

Berdasarkan ura-ura di media sosial, terdapat laporan mendakwa Francisco Fydriszewski sedang dipantau JDT, seperti mana dikongsikan seorang wartawan di Eropah, Joaquin Saavedra.

Penyerang yang pernah beraksi di kelab berpangkalan di Ecuador, Barcelona SC itu memiliki prestasi cukup memberangsangkan dengan sembilan gol dijaringkan dalam 11 aksi liga.

"Fydriszewski tidak akan kekal bersama Barcelona untuk separuh musim kedua Liga Pro 2024 dengan kelab itu sedang bersedia akan pemergiannya. Dia sudah mendapat dua tawaran dengan salah satunya daripada JDT," katanya.

Jadi, khabar angin perpindahan tersebut sudah tentu cukup relevan, lebih-lebih lagi dengan juara Liga Super tersebut memiliki sumber kewangan kukuh.

Bagaimanapun, gosip tersebut segera ditepis pemilik skuad Harimau Selatan, Tunku Ismail Idris yang mengatakan Fydriszeswski tidak berada dalam radar pasukan.

"Tidak," katanya ringkas menerusi satu komen di laman Instagram MakanBola baru-baru ini.

Kenyataan itu sekali gus membuktikan skuad Harimau Selatan masih menagih sentuhan Bergson yang menjadi watak penting sepanjang empat musim bersama kelab itu.

Selain itu, kehadiran penyerang naturalisasi, Romel Morales membuatkan JDT tidak perlu terburu-buru dalam membawa seorang peledak baharu pada jendela perpindahan akan datang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram