Magis Ivan Mahmut ditagih lawan Sang Badak


  • Podium
  • Rabu, 26 Jun 2024

Mamut kini merupakan senjata utama Tomislav untuk merobek gawang gol pihak lawan pada musim lalu.

TERENGGANU FC akan menerima kunjungan Sabah FC dalam aksi suku akhir Piala FA di Stadium Sultan Zainal Abidin, Terengganu pada Jumaat nanti.

Sang Penyu yang layak ke pusingan suku akhir Piala FA selepas menewaskan Perak FC dengan keputusan 2-1 pada 14 Jun lalu.

Ketika menewaskan The Bos Gaurus, Muhammad Safawi Rasid dan Marin Pilj menjadi wira buat Sang Penyu untuk meneruskan hayat Terengganu dalam kejohanan Piala FA.

BACA LAGI: Terengganu beri bayangan bintang pinjaman JDT turun aksi suku akhir Piala FA

BACA LAGI: Sultan Selangor 'murka' keputusan MFL, Shahril Mokhtar letak jawatan dalam FAM

Selepas seminggu berlalu untuk memberikan laluan kepada perlawanan Liga Super, kini Piala FA kembali dimainkan dengan aksi awal melibatkan empat pasukan iaitu Penang FC, Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Terengganu dan Sabah.

Teruja untuk melihat perlawanan suku akhir itu, penyokong Terengganu mula berharap bintang utama pasukan, Ivan Mamut dapat diturunkan bagi memperkuatkan serangan pasukan.

Ini selepas Mamut berehat hampir enam bulan susulan kecederaan yang dialaminya awal musim ini.

"Ramai penyokong Terengganu mengharapkan Ivan (Mamut) dapat diturunkan Jumaat ini.

"Mampukah Tomislav (Steinbruckner) bagi cabaran yang hebat ke atas Sabah dengan ketiadaan Ivan Mamut?" soal penyokong.

Malah luahan yang dimuat naik penyokong itu dalam Facebook turut mendapat reaksi yang pelbagai oleh orang ramai apabila mereka turut mahu pemain import Croatia itu turun menentang Sabah.

"Berat kalau tiada Mamut, sebab Akinade (Ismaheel) bukan sama tahap Mamut," kata Braen Allister.

"Harap Mamut boleh bagi menang pada perlawanan dengan Sabah nanti, kalau tak memang teruk kena kecam," jelas Mohd Yusuf.

"Perlawanan teruk tanpa Ivan dan pasukan perlukan Matthew Steenvoorden untuk bahagian pertahanan bagi mulakan serangan," luah Shaimi Hamid.

Kehadiran Mamut dalam skuad Terengganu pasti ditagih oleh Sang Penyu selepas musim lalu dia menjaringkan 17 gol dan satu 'assist' dalam 30 perlawanan.

Terengganu kini menduduki tangga ketiga Liga Super selepas mencatatkan dua kemenangan dan seri dalam empat perlawanan terakhir dengan mengutip lapan mata di belakang Selangor FC dan JDT. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram