Bola Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Super musim 2024/25.
SENYUMNYA yang meleret-leret dalam sidang media selepas perlawanan mengisahkan kelegaan dan kegembiraan ketua jurulatih Selangor FC, Nidzam Jamil, hasil kemenangan keempat dalam liga di Stadium MBPJ, Kelana Jaya petang semalam.
Bahasa tubuh yang menyelitkan sedikit rasa mendabik dada harus dicemburui terhadapnya ketika dia membicarakan dengan panjang lebar kedalaman skuad yang dimiliki ketika ini dan kemampuan mereka menyerap asakan lewat Perak FC untuk mempertahankan kelebihan 2-1 sehingga wisel penamat.
Lebih-lebih lagi, setengah jam terakhir diharungi dengan kekurangan seorang pemain sambil pelawat memanfaatkan keadaan itu dengan melancarkan serangan bertali arus untuk meletakkan tuan rumah dalam keadaan tertekan.
BACA LAGI: Kad merah Alex timbulkan persoalan, tapi fans Perak lebih geram dengan Lee Tae-min
BACA LAGI: 'Hantar mereka ke Palestin', insiden gaduh penyokong Selangor-Perak cukup mengecewakan
Kesudahannya, ia melebarkan rekod 100 peratus Selangor dalam lima perlawanan berturut-turut – termasuk kemenangan 4-0 ke atas Negeri Sembilan FC dalam aksi Piala FA – di sebalik pintu gol kawalan Sam Sommerville bolos buat julung-julung kali.
Dalam pada itu, kemenangan tipis ke atas Perak turut dianggapnya sebagai pembuka mata untuk bersedia terhadap apa saja kemungkinan dalam perlawanan-perlawanan mendatang atas kesedaran apa saja boleh berlaku dalam bola sepak.
“Yang jadi kerisauan saya ialah akan ada satu hari nanti kita tidak menjaringkan gol dan kita seri 0-0, adakah kita pasukan yang teruk, saya pun tak pasti.
“Tapi bila mana kita bermain 10 orang, kita menang 2-1 tapi jika kita bolos satu gol jadi topik, saya rasa itu tak adil untuk pasukan seperti kami.
“Tapi sudah tentu cita-cita kita minggu depan akan bermain tanpa bolos (semula),” kata Nidzam merujuk kepada layangan kad merah terhadap Alex Agyarkwa yang memberi laluan kepada Perak merapatkan jurang menerusi gol Nur Azfar Fikri Azhar pada minit ke-78.
Ronnie Fernandez menjaringkan dua gol bertemu Perak. — Selangor FC
Agyarkwa dilayangkan kad merah pada minit ke-64 selepas semakan video bantuan pengadil (VAR) kerana terjahan kerasnya ke atas Wan Zack Haikal Wan Noor.
“Saya tak pasti,” katanya ketika ditanya mengenai insiden kad merah itu. “Saya tak ada di tempat untuk boleh menjawab.
“Saya tidak jangka untuk kami dapat kad merah hari ini. Selepas ini, kita mungkin kena persiapkan pasukan jika kita kena bermain dengan 10 orang, kita kena berlatih bermain dengan 10 orang,” jelasnya.
Nidzam bagaimanapun sangat berpuas hati dengan komitmen ditunjukkan pemain-pemainnya, terutama dalam keadaan sukar beraksi dengan kekurangan seorang pemain.
“Ia tidak mudah. Juga kalau lawan bermain dengan 10 orang, tidak mudah bermain menentang 10 orang.
“Kita di pihak yang kekurangan seorang pemain tapi 30 minit (terakhir) itu berkisar kepada komitmen pemain-pemain sebenarnya... mengenai jati diri kami nak menang perlawanan ini.
“Kadang-kadang bola sepak ni taktikal dah jadi (perkara sampingan) tapi saya puji komitmenlah. Jika ditanya, saya puas hati sebab bukan mudah bermain dengan 10 orang, bertahan dengan team sebaik Perak,” katanya lagi.
Selangor kental bertahan walaupun beraksi dengan 10 pemain. — Selangor FC
Nidzam turut merujuk kepada temu bual sebelum sepak mula perlawanan bagaimana dia membayangkan sukar untuk mempertahankan rekod tanpa bolos kerana lambat-laun pintu gol akan bocor juga. Cuma, ia tidak dijangkakannya akan berlaku dalam perlawanan petang semalam.
“Ya, lambat-laun kita akan dibolosi, itu kita tau. Susah nak cakap setiap game kita nak clean sheet. Hari-hari seperti ni akan sampai. Tapi bila mana kita bermain dengan 10 orang, kena satu gol, tapi komitmen (pemain-pemain) selepas itu yang saya suka,” katanya.
Jurulatih itu turut berkongsi kegembiraan dengan penggiliran pemain dalam kesebelasan permulaan, terutama di barisan pertahanan, yang membuahkan hasil.
“Sepanjang dua tahun ini kita banyak guna Quentin (Cheng) dan Zikri (Khalili) di situ tapi kita nak cuba mendapat lebih opsyen kerana kita merasakan Afro (Sharul Nazeem Zulpakar) ada sesuatu yang dia boleh tawarkan lagi.
“Sebagai pemain yang bagus, saya gembira kerana dia terbuka untuk bermain di posisi yang pada awalnya kekok tapi untuk empat perlawanan ni dia buat kerja dengan baik. Persaingan dia dengan Quentin persaingan yang sihat.
“Saya gembira dan jika berterusan di semua posisi, saya rasa kita boleh berkembang dengan lebih baik. Situasi di Selangor sangat sihat, bukan saja Harith Haikal, semua substitute kita kerja keras.
“Bermain 10 orang, yang masuk Danial Asri, Zikri, Mukhairi Ajmal dan Syahir (Bashah), empat pemain ini saya fikir mereka menambah defensive power kita dan masa yang sama kekalkan dua gol. Hasilnya seperti hari ni... komitmen daripada semua orang,” tambahnya.
Nidzam juga tidak lokek menghamburkan pujian kepada Perak kendalian Yusri Che Lah di atas kebangkitan lewat mereka untuk merapatkan kedudukan dengan satu gol.
“Kita perlu hormati Perak, mereka jaringkan gol dalam empat perlawanan terakhir. Mereka menjaringkan gol dengan Terengganu, menjaringkan gol dengan Kedah di gelanggang lawan.
“Soalannya bukan Selangor kena gol, ia mengenai Perak score di tempat kita. Saya bangga dengan Yusri Che Lah.”
Selangor akan menyambung cabaran dengan melayani kunjungan Kuching City FC dalam aksi suku akhir Piala FA pada 29 Jun, disusuli rehat dua minggu sebelum berdepan Penang FC di Stadium MBPJ pada 13 Julai. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram