SEJAK beberapa musim lalu, insiden pergaduhan dan kekerasan fizikal di luar padang melibatkan penyokong bagaikan suatu isu yang tidak kesudahan.
Terbaharu, berlaku kekecohan apabila sekumpulan penyokong skuad The Bos Gaurus (TBG) bertindak mengheret seorang individu dipercayai penyokong Selangor FC yang difahamkan terdiri daripada kumpulan kasual.
Difahamkan, kekecohan berpunca selepas bas dinaiki kumpulan ultras Perak dibaling batu di lebuh raya oleh tiga penyokong kasual.
BACA LAGI: Tepat masanya, Nafuzi pertahan lambat masukkan Syafiq Ahmad dan Ebenezer Assifuah
BACA LAGI: Isyarat 2 jari bukan petanda isu gaji melanda KDN, sebaliknya hanya tanda solidariti buat Palestin
Sebahagian keadaan bas peminat Perak FC yang dibaling batu oleh penyokong Selangor FC. — Facebook
Susulan itu, polis menahan dua pelajar lelaki selepas disyaki membaling batu ke arah bas yang membawa penyokong pasukan Perak FC di sebuah stesen minyak di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) pada Ahad.
Mengulas mengenai insiden tersebut, penganalisis tanah air, Pekan Ramli berkata, isu tersebut tidak seharusnya dibiarkan berlarutan dalam bola sepak negara tanpa sebarang tindakan tegas.
Menurutnya, pihak terbabit perlu melaksanakan langkah lebih keras untuk menangani masalah tersebut termasuk dengan menggunakan pasukan khas iaitu Pasukan Simpanan Keselamatan (FRU) bagi mengawal keadaan.
"Hairannya, kalau dulu penyokong yang perangai macam ini tahu dan kenal pula mereka dengan anjing FRU (Pasukan Simpanan Persekutuan), kenal pulak mereka dengan anggota FRU yang pakai uniform biru gelap dan perisai coklat dan cota di pinggang.
"Tahu pulak mereka takut dikejar dan diterkam dek anjing FRU, tahu pula mereka takut kena lanyak dalam trak FRU dan merasa dibelasah dengan cota, dulu semua takut nak buat hal kalau datang stadium," katanya kepada Majoriti.
Susulan itu, Pekan mencadangkan agar FRU dikerahkan semula di venue bagi menangani dan mengawal keadaan di stadium.
"Saya cadangkan tiap kali game bola ni, kalau FRU tu dah dibubarkan, hidupkan balik, wujudkan semula, khas untuk menangani dan mengawal keadaan di stadium-stadium bola sepak ni.
"Kita nak tengok puak-puak ni berani ke buat hal lagi. Saya gerenti tak berani dah, kecut mereka. Pucat lesi muka mereka bila dah direntap dek FRU. Tak percaya, wujudkan balik unit FRU ini.
"Kalau tak boleh nak wujudkan balik FRU ni, letakkan askar-askar kita yang beruniform dan bersenjata bertugas di dalam dan luar stadium ketika perlawanan bola sepak. Kita tengok mereka berani tak atau masih buat kacau atau tidak," ujarnya lagi.
Menurut Pekan, beliau turut mencadangkan agar bilangan pegawai keselamatan perlu ditambah dan setiap stadium perlu dilengkapi dengan kamera keselamatan litar tertutup (CCTV).
"Saya dapati sekarang banyak provokasi berlaku di luar padang sebelum atau selepas perlawanan. Nampaknya kawalan keselamatan di luar padang perlu diawasi sepenuhnya dan bilangan pegawai keselamatan juga perlu ditambah serta perlu dilengkapi dengan CCTV di luar stadium.
"Jangan benarkan juga berlakunya perhimpunan dan chanting yang bermula di luar stadium khususnya sebelum dan selepas perlawanan.
"Saya juga pernah melihat berlaku provokasi di luar stadium sebelum perlawanan khususnya di stadium yang sama.
"Walaupun ditegur pihak berkuasa mereka tetap degil dan tidak berpuas hati pula dengan teguran itu. Situasi menjadi panas dan jika dilayan boleh mencetuskan ketegangan.
"Jadi, larangan perlu dikeluarkan agar chanting dan perhimpunan penyokong tidak dibenarkan berlaku di luar stadium, nanti ada provokasi dan sindir menyindir berlaku dan akhirnya berlakulah keganasan di luar stadium," kongsinya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram