Pelajar 'dalang' kes baling batu bas penyokong Perak FC, polis tahan 2 suspek


  • 112
  • Isnin, 24 Jun 2024

Tangkap layar daripada video tular di media sosial memaparkan kekecohan berlaku di sebuah stesen minyak di lebuh raya NKVE pada Ahad.

POLIS menahan dua pelajar lelaki selepas disyaki membaling batu ke arah bas yang membawa penyokong pasukan Perak FC di sebuah stesen minyak di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pukul 8.49 malam pada hari yang sama.

Shahrulnizam berkata, siasatan mendapati, kejadian berlaku selepas penyokong bola sepak itu selesai menyaksikan perlawanan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor.

BACA LAGI: Tambah marsyal antara 3 cara elak aksi panas El Clasico Malaya berulang

BACA LAGI: Liga Malaysia bakal melingkup tidak lama lagi? Penganalisis jangka hanya 3 pasukan kekal bersaing

Katanya, dua lelaki tempatan itu menunggang motosikal bertindak membaling batu ke arah bas terbabit ketika dalam perjalanan menuju ke arah utara.

"Salah seorang suspek berkenaan adalah pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) manakala rakannya seorang pelajar di sebuah institut pengajian vokasional.

"Kedua-dua suspek berusia 17 dan 20 tahun berjaya ditahan oleh penumpang bas terbabit lalu diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh, Selangor untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, bas terdapat beberapa kerosakan dan keretakan di cermin.

"Semakan rekod lampau mendapati suspek tidak mempunyai rekod lampau dan kedua-dua mereka direman tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

"Ujian saringan awal air kencing juga mendapati kedua-dua suspek negatif penggunaan dadah dan alkohol," katanya.

Terdahulu, tular sebuah video memaparkan sekumpulan penyokong skuad The Bos Gaurus (TBG) bertindak mengheret seorang peminat Selangor FC yang difahamkan terdiri daripada kumpulan kasual. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram