GERGASI futsal tanah air, Pahang Rangers pada Isnin mengumumkan ketua jurulatihnya, Gerard Casas akan meninggalkan kelab itu pada penghujung musim.
Berdasarkan satu kenyataan dikeluarkan, pengendali tersebut mahu pulang ke Sepanyol untuk membolehkannya meneruskan karier di negara Eropah berkenaan.
"Ia adalah keputusan peribadi saya dan saya percaya, ia adalah untuk kebaikan diri kerana saya menganggap ia adalah waktu terbaik untuk pulang ke negara kelahiran.
"Jangan risau kerana saya sedang bekerjasama dengan kelab untuk memastikan pemergian saya dari Pahang Rangers adalah dalam keadaan sebaik mungkin dan bergerak ke arah yang tepat," katanya.
BACA LAGI: [VIDEO] Pahang Rangers menang, tapi aksi kotor pemain Sabah calarkan imej pengadilan
BACA LAGI: [VIDEO] Aksi kelab Selangor-Pahang Rangers jadi hangat, ramai selar mentaliti pemain profesional
Casas merupakan watak penting dalam kemegahan Pahang Rangers FC selepas dia membantu kelab Pantai Timur itu meraih beberapa gelaran, termasuk Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL) dan Piala Futsal Malaysia musim lalu.
Kenyataan itu sudah tentu amat dirasai penyokong pasukan berkenaan kerana kelibatnya boleh dikatakan sukar diganti sekali pun Pahang Rangers FC dapat membawa masuk seorang pengganti berkualiti.
Bagaimanapun, ada pula yang berharap supaya jurulatih tersebut tidak kembali ke arena futsal negara selepas berada di Sepanyol dalam tempoh yang dimahukan.
"Lega saya apabila mendengar coach akan pulang ke Sepanyol. Ingatkan ke mana lah tadi, risau juga kan. Apa-apa pun, terima kasih untuk empat tahun ini," kata Encik Rusydi.
"Balik ke Sepanyol dan tiba-tiba datang semula tetapi bukan ke Pahang Rangers. Ramai yang boleh agak akan ke mana. Gaji naik, siapalah yang tidak mahu?" soal Abdul Halim.
"Perkara sebegini orang ramai sudah dapat baca. Penyudahnya, akan dialu-alukan ke sebuah kelab itu," kata Zamrul Ibrahim.
Penyokong Pahang Rangers sudah tentu terkesan dengan kenyataan itu. — Facebook/Pahang Rangers FC
Meskipun tidak menyatakan perkara itu secara terbuka, penyokong Pahang Rangers FC seakan-akan menjangkakan Gerard akan kembali ke arena futsal tanah air dan menyertai Johor Darul Ta'zim.
Ini kerana terdapat dakwaan kelab Selatan tanah air itu sering berbuat demikian, termasuk dalam arena bola sepak tanah air sejak ditubuhkan pada 2013.
Bagaimanapun, perkara tersebut hanyalah satu telahan daripada orang ramai dengan tiada pihak pernah mengeluarkan kenyataan mengenai isu berkenaan.
Ketika ini, Pahang Rangers berada di kedudukan kedua MPFL 2024 dengan lima mata membezakan mereka berbanding skuad Harimau Selatan yang menduduki tangga teratas. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram