Fans TBG mengamuk berhak tuntut kemenangan, Bobie Farid masih puas hati sebab kalah tipis


  • Podium
  • Isnin, 24 Jun 2024

Antara aksi momen perlawanan antara Selangor menentang Perak di MBPJ pada Ahad. — Facebook/PerakFC

PERAK FC mencatatkan kekalahan ketiga selepas tewas tipis dengan keputusan 1-2 di tangan Selangor FC pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya, Selangor pada Ahad.

Skuad kendalian Nidzam Jamil meraih tiga mata menerusi sumbangan pemain import, Ronnie Fernandez yang mencetak gol pada minit ke-24 dan menyempurnakan sepakan penalti sebelum babak kedua perlawanan berakhir.

Sepakan penalti pada minit ke-38 itu terhasil selepas semakan video bantuan pengadil (VAR) mengesan kekasaran dilakukan Tommy Mawat Bada terhadap Alvin Fortes.

BACA LAGI: Penyakit musim lalu Perak bantu import Piala MFL Terengganu bantai TBG

BACA LAGI: Orang kuat Perak FC tak nafi ada isu gaji, ajak fans beli 'merchandise' selesaikan masalah

Manakala, Perak FC membawa pulang gol saguhati selepas pemain gantian, Muhammad Nur Azfar Fikri Azhar pada minit ke-78 dan dia menjadi pemain pertama membolosi gawang Selangor musim ini.

Walaupun Perak FC bermain dengan sangat cemerlang di MBPJ namun masih ada peminat yang kurang berpuas hati dengan keputusan berkenaan sehingga mendakwa bajet ‘ciput’ menjadi punca skuad The Bos Gaurus (TBG) masih bergelut untuk bersaing.

“Bab hutang dan bajet itu kerja kau (. Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Interim Perak FC, Bobie Farid Shamsudin). Sebab tu orang bayar gaji kau untuk menyelesaikan masalah. Memang kami sebagai penyokong, kami berhak maki hamun. Kami sokong atau kami cintakan pasukan ini, kami tak dapat gaji pun.

“Kalau tuan CEO rasa bajet adalah masalah, tiket perlu dinaikkan, import perlu dikurangkan, Yusri Che Lah (YCL) perlu dibuang, tuan CEO buatlah. Kami mahukan kemenangan biarpun corak permainan macam s**l. Biar s**l, asalkan menang. Biar menang, baru ada kesungguhan fans nak melabur walaupun tiket RM100 sekali pun, sebab berbaloi menang.

“Orang bayar gaji kau untuk menyelesalkan masalah, dan kau terima kerja kau. Itu adalah amanah, action louder than word. Saya minta maaf atas kekasaran saya. Kalau 3/4 perlawanan game pun kalah. RM5 pun penyokong tak mahu datang sebab dah tahu kalah,” komen penyokong Syukri Qusyairi.

Walaupun dikritik mengenai bajet daripada penyokong, Bobie Farid menegaskan masih berpuas hati dengan corak permainan yang ditunjukkan anak-anak buah Yusri kerana masih mampu memberi saingan sengit terhadap pasukan gergasi seperti Selangor.

Jika diimbau kembali perlawanan lalu, Perak mencatat kekalahan besar menentang Selangor apabila merekodkan 0-4 pada perlawanan pusingan pertama dan keputusan sama pada 25 November lepas.

Game semalam (Ahad) puas hati walaupun kalah 2-1. Sebab tahun lalu kita kalah 4-0 dua kali dengan Selangor,” kata Bobie Farid memetik video siaran langsung di saluran Facebook miliknya pada Isnin.

Bukan itu sahaja, Bobie Farid juga menegaskan bahawa dengan bajet yang diperuntukkan pasukan pada tahun ini namun masih mampu memberi saingan kepada Selangor, kredit harus diberikan kepada keseluruhan skuad TBG.

bobie

Bobie Farid masih berpuas hati dengan corak permainan Perak walau kalah tipis. — Facebook/Perak FC

“Untuk pengetahuan bajet pasukan Perak tak sampai 3.05 juta euro setahun (RM15.7 juta). Untuk kita bersaing dengan pasukan yang ada bantuan kerajaan negeri seperti Selangor dan Terengganu kita perlu lebih realistik. Namun kita juga perlu bangga dengan bajet mcm ini pun kita tak jauh dari kemenangan menentang mereka.

“Pusingan kedua masih ada. Yang nyata setiap perlawanan kita ada buat jaringan dan kita tau apa yang perlu dibaiki. Memamg komen ikut sedap mulut dan jari menaip tu mudah. Namun untuk hadirkan pasukan seperti ini kami siang malam bekerja tanpa bantuan mana mana pun,” tambahnya memetik hantaran pada laman Facebook. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram