PERCATURAN Ketua Jurulatih Kedah Darul Aman (KDA) FC, Nafuzi Zain membawa masuk penyerang Syafiq Ahmad dan Ebenezer Assifuah untuk menambah sengat serangan Sang Kenari pada babak kedua ternyata membuahkan hasil.
Ia terbukti berhasil apabila penyerang import Sang Kenari, Assifuah muncul wira dengan mencetak gol tunggal pada minit ke-77 dalam kemenangan 1-0 ke atas Penang FC aksi Liga Super 2024 di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada Sabtu.
Gol tunggal tersebut terhasil menerusi hantaran tepat Syafiq ke arah Assifuah selepas menerima bola daripada pemain tengah Sang Kenari, Amirul Hisyam Awang Kechik.
BACA LAGI: Bukan sahaja import Korea Selatan, Tan Cheng Hoe disebut antara 'big change' JDT?
BACA LAGI: [VIDEO] Assifuah masuk baru bergegar jaring, elok ganti Milos ketuai Sang Kenari
Kehadiran Syafiq (tengah) dan Assifuah (kanan) dalam babak kedua aksi nyata membuahkan hasil selepas membantu Sang Kenari meraih kemenangan. — Facebook/KDAFC
Import kelahiran Ghana itu berjaya memperdayakan barisan pertahanan dan penjaga gol Harimau Kumbang, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman dengan penyudah kaki kirinya.
Susulan kemenangan tersebut, Nafuzi menguntum senyum kerana memenangi pertembungan derbi Utara yang penuh mendebarkan itu.
“Kemenangan itu adalah bukti kerja keras kami dalam latihan.
“Ramai mengetahui kelab ini memang menghadapi masalah di luar padang kerana faktor kewangan tetapi sebagai jurulatih, tugas saya adalah untuk memastikan pemain kekal bermotivasi dan menikmati permainan.
“Setiap kali sebelum perlawanan, saya akan memberi peringatan kepada mereka mengenai tujuan mereka bermain.
"Bukan itu sahaja, saya mengingatkan mereka bahawa sekiranya mereka fokus dengan permainan sudah pasti mereka akan meraih keputusan positif," katanya.
Ditanya mengenai pemilihan penyerang import Serbia, Milos Gordic sebagai kesebelasan utama pasukan, Nafuzi berkata, perkara tersebut merupakan salah satu daripada taktikal pasukan.
“Kita tahu Penang rajin dan bersemangat, sudah pasti gerakan mereka itu akan memberi kesan kepada Kedah.
"Itulah sebabnya saya turunkan Milos terlebih dahulu dan ketika permainan Penang mula perlahan, saya akan turunkan Syafiq dan Assifuah dengan segera.
“Ia adalah sebahagian daripada rancangan taktikal saya dan saya gembira ia berjaya.
“Gordic sudah bekerja keras. Mungkin dia tidak kerap menjaringkan gol tetapi dia sesuai dengan taktikal saya.
"Saya percaya apabila dia mula menjaringkan lebih banyak gol, orang akan melihat mengapa kami menandatanganinya," ujarnya.
Selepas ini, Kedah akan berdepan Penang sekali lagi dalam aksi suku akhir pertama Piala FA pada 28 Jun nanti di ltempat lawan.
“Kami bermain dengan baik setakat ini, banyak mencipta peluang, tetapi penyudah kami perlu lebih tajam dan pertahanan kena kental tetapi kami akan usahakan ini sebelum perlawanan seterusnya,” tambah Nafuzi. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram