Kedah Darul Aman FC mampu sedikit ceria di tengah derita


Oleh M. AZIM
  • Podium
  • Ahad, 23 Jun 2024

Skuad Sang Kenari sudah tentu berpuas hati dengan tiga mata yang diraih dalam pertemuan sengit itu. — Facebook/KDA FC

BOLA Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Super musim 2024/25.

KEDAH Darul Aman (KDA) FC masih mengenakan jersi pramusim dalam perlawanan liga keempatnya malam tadi – tanda masalah dana dan ketiadaan penaja utama yang membelenggu mereka sejak awal musim belum lagi berpenghujung.

Tapi, ketua jurulatih, Nafuzi Zain, dan pemain-pemainnya masih mampu menguntum senyum buat sementara selepas kejayaan menundukkan Penang FC 1-0 hasil jaringan pemain import dari Ghana, Ebenezer Assifuah, di Stadium Bandaraya untuk mereka meraih tiga mata berharga.

BACA LAGI: Assifuah jadi 'poster boy', Nafuzi Zain seperti bagi petunjuk penggempur utama KDA FC

BACA LAGI: [VIDEO] 'Jualan air mineral KDA FC lebih efektif berbanding produk Vida semasa di Kelantan'

448849931_505427325171783_3589805662837441923_n

Skuad Sang Kenari masih mengenakan jersi pramusim setakat ini. Facebook/KDA FC

Ia baru hanya kemenangan kedua Sang Kenari selepas tiga mata daripada kemenangan sulung ke atas PDRM FC di tempat lawan pada 11 Mei lalu ditolak gara-gara denda tiga mata yang dikenakan susulan kelewatan melunaskan tunggakan gaji musim lalu.

Dua lagi perlawanan membabitkan KDA FC berkesudahan dengan kekalahan – 0-1 kepada Selangor FC di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada 18 Mei dan dikejutkan 0-2 oleh Perak FC di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada 24 Mei.

Sebelum ini dilaporkan masalah kewangan menyebabkan Sang Kenari tidak dapat melancarkan jersi bagi saingan Liga Super 2024/2025 kerana masih tiada penaja utama meskipun saingan liga sudah bermula.

KDA FC dalam satu kenyataan berkata pihak pengurusan mencapai kata sepakat dengan penaja jersi musim ini, iaitu AL Sports Sdn Bhd, bagi menangguhkan sementara pelancaran jersi sehingga berjaya mendapatkan penaja utama.

449074321_505428411838341_6749100593409000135_n

Ebenezer (kanan) menjaringkan gol kemenangan buat skuad Sang Kenari. Facebook/KDA FC

Jersi pramusim yang memaparkan ‘Arab Street’ sebagai penaja awalnya dijangka akan digunakan untuk tiga perlawanan pertama liga.

Penggunaan jersi yang sama untuk perlawanan keempat membayangkan belum ada kata muktamad membabitkan penaja utama di sebalik laporan bahawa sudah ada rundingan dilakukan dengan beberapa penaja berpotensi setakat ini.

Lantaran itu, kemenangan tipis dalam ‘derbi Utara’ malam tadi dianggap teramat penting untuk mengembalikan KDA FC ke landasan yang dicita-citakan mereka.

“(Sebelum perlawanan), dalam carta kita masih kosong setelah tolakan mata. Jadi, tiga mata ini membantu untuk kita naik dan berpeluang untuk bersaing dengan team-team di atas.

“Kalau kita masih kosong, terlalu jauh jurang dengan pasukan di atas, untuk kita bersaing akan bertambah sukar,” kata Nafuzi dalam temu bual selepas perlawanan.

448889734_505427258505123_5390598622896539893_n

Nafuzi sudah tentu dapat menarik nafas lega buat sementara. Facebook/KDA FC

Kedua-dua pasukan yang mempamerkan aksi seimbang bagaimanapun kebuntuan jaringan sepanjang separuh masa pertama. Ketumpulan barisan serangan KDA FC dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh dua pertahanan import Penang FC, Rafael Vitor dan Richmond Ankrah, untuk mematahkan segala asakan pelawat.

Kekecewaan terbesar penyokong pelawat harus kepada penyerang, Milos Gordic, yang gagal memberi sumbangan positif buat serangan KDA FC meskipun Sony Norde banyak memberikan bola kepadanya dari bahagian sayap.

Selepas 70 minit aksi, Nafuzi memasukkan Syafiq Ahmad dan Assifuah selepas Sang Kenari dilihat bergelut untuk mencari jaringan. Ternyata pertukaran itu membuahkan hasil apabila gerakan Syafiq membuka laluan untuk Assifuah memecahkan kebuntuan dengan jaringan pada minit ke-79.

“Memang saya rancang untuk separuh masa kedua Syafiq dan Ebenezer kita akan masukkan kedua-dua sekali. Kita tahu dengan Penang, dengan semangat mereka hari ini, sudah pasti mereka akan datang mengasak kami.

“Dua tu – Syafiq dan Assifuah -- memang main peranan. Dari segi perancangan, bila menang memanglah perancangan tu semua nampak bagus,” tambahnya.

448849455_505427351838447_7196508905732710035_n

Nafuzi masih mempertahankan Gordic meskipun sumbangannya amat terhad. Facebook/KDA FC

Nafuzi tetap mempertahankan sumbangan penting Gordic kepada barisan serangan pasukan sambil meyakini pemain import berusia 31 tahun dari Serbia itu mungkin memerlukan sedikit masa lagi untuk menyerlahkan ketajaman sentuhan penyudahnya.

Ditanya reaksi Gordic agak perlahan ketika Norde memiliki bola untuk mengumpan kepadanya, jurulatih itu menyifatkan penyerang sasa itu memiliki kelebihan tersendiri dalam mengenakan tekanan ke atas pertahanan lawan.

“Milos dengan Ebenezer dua pemain yang berbeza -- Milos dari segi kerajinan dia, pergerakannya tanpa bola. Mungkin dari segi sentuhan jaringan dia belum nampak lagi. Bila ada peluang dia score baru nampak kualiti dia,” jelasnya.

Nafuzi turut akur dengan tuntutan penyokong Sang Kenari agar Assifuah – kali terakhir mewakili Ghana dalam Piala Negara-Negara Afrika 2017 dan penjaring terbanyak Piala MFL musim lalu -- diberi lebih minit permainan.

2071351

Daud Bakar masih berusaha keras mendapatkan penaja demi masa depan Kedah. Facebook/KDA FC

“Assifuah akan main dalam kesebelasan utama tapi peningkatannya akan dari semasa ke semasa, kita tak mahu terlalu cepat menampilkannya,” katanya lagi.

Nafuzi bagaimanapun enggan berkongsi seajuh mana perkembangan ikhtiar meningkatkan dana pasukan yang sebelum ini didedahkan pemilik saham terbesar Darulaman Football Club Sdn. Bhd, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar, sebagai mampu bertahan untuk hanya dua bulan.

Ditanya bagaimana dia motivasikan pemain sedangkan ia bukan tugas mudah dalam situasi kewangan KDA FC sekarang, jurulatih itu sekadar mengungkapkan: “Memang sebagai jurulatih, ia sesuatu yang sukar apabila mungkin banyak faktor yang kita punya kehendak mungkin terjejas.

“Yang penting kita perlu buat pemain-pemain kita gembira.”

Bagaimana caranya?

“Seperti menang malam ini... kerana kemenangan dapat mengubati kekecewaan.” — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram