[VIDEO] Kononnya sebab baling batu, casual Selangor kena 'culik' ultras Perak di stesen minyak NKVE


  • 112
  • Isnin, 24 Jun 2024

Tangkap layar daripada video tular di media sosial memaparkan kekecohan berlaku di sebuah stesen minyak di lebuh raya NKVE.

KEKECOHAN difahamkan berlaku melibatkan penyokong Selangor FC dan Perak FC berdasarkan video tular di stesen minyak sekitar Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) pada Ahad.

Berdasarkan klip dimuat naik di akaun X rdh8tv, sekumpulan penyokong skuad The Bos Gaurus (TBG) bertindak mengheret seorang peminat Selangor FC yang difahamkan terdiri daripada kumpulan kasual.

Difahamkan, kekecohan berpunca selepas bas dinaiki kumpulan ultras Perak dibaling batu di lebuh raya oleh tiga penyokong kasual Selangor.

BACA LAGI: Tambah marsyal antara 3 cara elak aksi panas El Clasico Malaya berulang

BACA LAGI: Liga Malaysia bakal melingkup tidak lama lagi? Penganalisis jangka hanya 3 pasukan kekal bersaing

Berang akan kelakuan tersebut, mereka dipercayai bertindak mengejar ketiga-tiga individu tersebut yang kemudiannya berhenti mengisi petrol di sebuah stesen minyak di lebuh raya berkenaan.

Namun, nasib tidak menyebelahi penyokong skuad pasukan Lembah Klang itu apabila penyokong TBG sempat menangkapnya sementara dua lagi yang terlibat sempat melarikan diri.

Berdasarkan video dimuat naik, pengikut setia Selangor FC tersebut hanya mendiamkan diri ketika dia diheret ke dalam bas yang dipercayai dinaiki penyokong skuad TBG.

Ini kerana kelihatan kira-kira puluhan penyokong Perak FC berada di stesen minyak berkenaan dengan masing-masing meminta agar keadaan tidak berubah kecoh.

Sementara itu, dalam satu kenyataan dikeluarkan Pusat Kawalan Trafik Persekutuan (FTCC), terdapat tiga penyokong Selangor FC yang 'diculik' dalam kejadian berkenaan.

"Terima maklumat berkenaan satu kes culik melibatkan penyokong bola sepak pada pukul 9.45 malam melibatkan tiga buah bas penyokong Perak FC yang menculik penyokong Selangor FC," tulisnya.

Sebelum ini, pelbagai kes melibatkan pergaduhan pernah dilaporkan setiap kali kedua-dua pasukan bertemu dengan aksi antara skuad Gergasi Merah dan skuad TBG dikenali sebagai 'El Clasico Malaya'. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram