PENYERANG Selangor FC, Ronnie Fernandez membuktikan dia adalah pembelian berbaloi buat Gergasi Merah selepas meledak dual gol kemenangan dalam membantu pasukan itu meraih tiga mata ke atas Perak FC.
Perlawanan yang dikenali sebagai 'El Clasico Malaya' antara Selangor dan Perak menyaksikan Gergasi Merah merekodkan kemenangan 2-1 ke atas Perak FC dalam aksi Liga Super 2024/2025 di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ), Petaling Jaya pada Ahad.
Skuad kendalian Nidzam Jamil meraih tiga mata menerusi sumbangan pemain import, Ronnie Fernandez yang mencetak gol pada minit ke-24 dan menyempurnakan sepakan penalti sebelum babak kedua perlawanan berakhir.
BACA LAGI: Kad merah Alex timbulkan persoalan, tapi fans Perak lebih geram dengan Lee Tae-min
BACA LAGI: Tak mungkin kembali ke Selangor, Penang dan Perak boleh berebut khidmat pemenang Kasut Emas
Merekodkan tiga gol dalam tiga perlawanan setakat ini pastinya akan menambah keyakinan penyerang kelahiran Chile dan membuktikan keraguan penyokong terhadapnya sebelum ini adalah satu kesilapan.
Jika melihat kepada gaya meraikan gol Ronnie selepas membantu Selangor, pasti ramai yang perasan bahawa penyerang tengah itu akan menutup telinga dan ia seolah-olah membawa sesuatu maksud.
Menjelaskan maksud di sebalik gaya meraikan gol berkenaan, pemain bertubuh sasa itu menyatakan bahawa ia adalah untuk menghiburkan anak-anaknya yang suka melihat Ronnie melakukan aksi berkenanan.
"Sebab anak-anak saya suka kalau saya raihkan gol dengan gaya ini ini. Saya dah lama buat gaya ini. Mungkin ia bermaksud saya tak kisah dengan tanggapan orang lain.
"Saya hanya fokus untuk kerja saya, bantu pasukan dan akan cuba untuk tolong mereka (pasukan) untuk mendapatkan kemenangan," katanya selepas perlawanan Gergasi Merah menentang Perak pada Ahad.
Bercakap mengenai dua gol yang diperolehinya, bekas pemain Wanderers tersebut tidak mahu mengambil kredit atas kemenangan berkenaan dan sebaliknya ia adalah usaha dari semua pemain.
Menurutnya, kemenangan ke atas Perak ini akan membantu Selangor mengekalkan rentak kemenangan bagi perlawanan lain dan seterusnya memastikan Gergasi Merah kekal berada di kedudukan teratas liga.
"Saya gembira sebab kami terus peroleh kemenangan. Saya rasa kemenangan akan kekalkan rentak kemenangan. Saya gembira untuk pasukan dan jurulatih kerana semua bantu untuk kekalkan rentak kemenangan.
"Saya rasa ini semua untuk pasukan, ia bukan tentang saya tapi semua terlibat dalam kemenangan malam ini (Ahad) dan perlawanan lain. Saya rasa pasukan semakin bertambah baik, kami gembira menjadi pasukan yang kuat," tambahnya.
Untuk rekod, Gergasi Merah kini menghuni kedudukan kedua liga dengan memungut sembilan mata selepas empat perlawanan.
Selepas ini, Selangor dijadual menentang Kuching City bagi pusingan suku akhir Piala FA 2023 sebelum menentang Kuala Lumpur (KL) City FC bagi aksi Liga Super 2024. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram