PERTEMBUNGAN antara dua pasukan tumpuan, Belanda dan Perancis dalam Kejohanan Euro 2024 yang berlangsung pada awal pagi Sabtu berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan.
Meskipun kedua-dua pasukan merupakan pilihan dengan jentera serangan cukup tajam, keutuhan benteng pertahanan membuatkan tiada sebarang gol terhasil dalam aksi di Red Bull Arena, Leipzig.
Namun, perlawanan itu hampir berakhir dengan kemenangan buat Belanda selepas bintang muda mereka, Xavi Simmons menggegarkan gawang lawan pada minit ke-69 permainan.
BACA LAGI: [VIDEO] Teknik staf SNBJ buang air 'ditiru' di stadium Euro 2024
BACA LAGI: [VIDEO] Fans Scotland tunjuk sisi murni Euro 2024, bantu payungi warga tua di Jerman
Dumfries (22) berada dalam keadaan ofsaid ketika Xavi Simons menjaringkan gol.
Dia yang melakukan rembatan daripada situasi bola muntah berjaya menewaskan penjaga gol Perancis, Mike Maignan dengan gol itu amat diraikan pemain dan staf kejurulatihan skuad The Oranje.
Bagaimanapun, kegembiraan tersebut tidak berkekalan selepas semakan video bantuan pengadil (VAR) membatalkan jaringan pemain PSV Eindhoven berkenaan.
Keputusan pihak pengadilan dibuat selepas mereka berasakan pemain Belanda, Denzel Dumfries berada dalam keadaan ofsaid dan mengganggu penjaga gol Perancis ketika gol itu dihasilkan.
Perkara itu sekali gus membuatkan pengendali skuad The Oranje, Ronald Koeman berasa kecewa dan beranggapan teknologi terbabit merencatkan misi mereka untuk meraih tiga penuh.
"Dumfries sememangnya berada dalam keadaan ofsaid, ia memang betul. Tetapi, dia tidak mengganggu penjaga gol lawan. Jadi, ketika ia berlaku, gol itu sepatutnya disahkan.
"Selain itu, anda juga memerlukan sehingga lima minit untuk mengesahkannya kerana ia sukar disemak? Saya tidak faham. Sekali lagi saya ingatkan, dia tidak melakukan sebarang gangguan," katanya.
Kegagalan meraih tiga mata bagaimanapun tidak terlalu dirasai kedua-dua pasukan kerana mereka masih menduduki dua kelompok teratas Kumpulan D Euro 2024.
Tetapi, mereka perlu mencatatkan kemenangan dalam perlawanan terakhir masing-masing dengan Belanda bakal berdepan Austria sementara Perancis akan bertemu Poland yang sudah tersingkir. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram