DATUK Seri M. Saravanan mempertahankan jawatannya sebagai Timbalan Presiden MIC selepas memenangi jawatan itu tanpa bertanding bagi penggal 2024-2027 pada pemilihan parti kali ini.
Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran mengumumkan keputusan itu selepas Saravanan muncul sebagai satu-satunya calon untuk jawatan berkenaan apabila pencalonan ditutup pada Sabtu.
BACA LAGI: Malaysia-China setuju selesai pertikaian di Laut China Selatan secara aman
BACA LAGI: Saifuddin saran keluarga Zayn Rayyan buat laporan polis jika rasa terancam
"Oleh sebab beliau mendapat sokongan majoriti dari parti kita, Datuk Seri M. Saravanan sekali lagi menjadi Timbalan Presiden MIC," katanya kepada media di Ibu Pejabat MIC, Kuala Lumpur pada Sabtu.
Pada Sabtu diadakan penamaan calon bagi jawatan tertinggi parti melibatkan jawatan Timbalan Presiden, tiga Naib Presiden, 21 Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) dan Majlis Tertinggi peringkat negeri yang berlangsung dari 10.30 pagi hingga 1 tengah hari.
Pada Mac lepas, Vigneswaran telah diumumkan kekal sebagai Presiden MIC apabila menang tanpa bertanding sewaktu penamaan calon jawatan itu.
Empat calon bertanding jawatan naib presiden iaitu tiga penyandang terdiri daripada Datuk T. Mohan, Datuk T. Murugiah dan Datuk M. Asojan selain Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan MIC Datuk Dr R. Nelson.
Sementara itu, 45 calon akan merebut 21 jawatan CWC pada pemilihan kali ini.
Pengundian untuk pemilihan semua jawatan yang dipertandingkan bagi penggal 2024-2027 akan diadakan pada 6 Julai. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram