[VIDEO] Tak ambil hati tiada dalam senarai Euro 2024, bek Georgia muncul 'pemain ke-12' demi tanah air


  • Podium
  • Jumaat, 21 Jun 2024

Tangkap layar Sazonov mengetuai penyokong Georgia dalam aksi menentang Turkiye.

KEJOHANAN Piala Eropah 2024 atau Euro 2024 sudah memasuki minggu kedua dengan pelbagai insiden malang, episod kekalahan, kemenangan besar dan perlawanan menarik yang menjadi selingan perlawanan.

Selain momen-momen atas padang, rakaman reaksi penyokong juga mendapat tumpuan dan yang menarik kali ini apabila kelibat bek Georgia, Saba Sazonov dilihat semangat menjadi 'pemain ke-12' pasukannya.

Dalam satu video tular di laman X menunjukkan pemain pertahanan tengah berkenaan berdiri sambil mengetuai peminat lain dalam memberi sokongan kepada Georgia pada aksi menentang Turkiye.

BACA LAGI: [VIDEO] Tak perlu bedah, Mbappe terpaksa pakai topeng sepanjang Euro 2024

BACA LAGI: [VIDEO] Tak pernah berubah, fans England buat onar di Euro 2024

Walaupun tidak tersenarai dalam skuad Euro 2024 Georgia, tindakan pemain itu menjadi ultras mendapat pujian daripada penyokong global kerana kesanggupannya yang sanggup ke Jerman demi menyokong perjuangan tanah air tercinta.

"Tonggak pertahanan Torino, Saba Sazonov tidak dipanggil oleh Georgia untuk bermain di Euro 2024.

"Tetapi itu tidak mematahkan semangatnya untuk datang ke Jerman. Daripada pemain pertahanan pasukan nasional, kepada penyokong pasukan negara," komen salah seorang penyokong global, medioclubID.

Mentaliti seperti Sazonov wajar menjadi ikutan para pemain lain untuk kekal memberi sokongan kepada skuad kebangsaan masing-masing dan tidak terlalu mengambil hati gagal mendapat tempat untuk mewakili negara.

WhatsApp Image 2024-06-21 at 14.31.11

Sazonov bermain bersama pasukan Serie A Itali, Torino. — Agensi

Dalam perlawanan yang dihadiri Sazonov itu, Georgia dimalukan 1-3 di tangan Turkiye di Signal Iduna Park, Dortmund, Jerman bagi saingan Kumpulan F pada Rabu lalu.

Turkiye mendahului menerusi jaringan jarak jauh Mert Muldur sebelum Georgia bangkit mengikat kedudukan dengan gol daripada Georges Mikautadze.

Bintang muda Real Madrid, Arda Guler paling mencuri tumpuan selepas jaringan jarak jauhnya menghadiahkan gol kedua buat Turkiye.

Kerem Akturkoglu pula menutup sisa perjuangan Georgia yang tampil buat kali pertama di Euro 2024 dengan gol ketiga pada hujung permainan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram