[VIDEO] Teknik staf SNBJ buang air 'ditiru' di stadium Euro 2024


  • Podium
  • Jumaat, 21 Jun 2024

Staf stadium di Signal Iduna Park bertungkus lumus menolak air ke dalam longkang supaya kawasan terjejas tidak banjir kerana hujan lebat.

TULAR dalam media sosial video sekumpulan pekerja stadium bertungkus lumus menolak air bertakung dalam tempat pembuangan air ketika perlawanan antara Turkiye menentang Georgia pada awal pagi Rabu.

Tanggungjawab yang diambil sekumpulan pekerja itu dipuji oleh penyokong yang hadir bagi menyaksikan perlawanan tersebut di Stadium Dortmund, Jerman yang merupakan salah satu venue kejohanan Euro 2024.

Tapi bukan bagi penyokong Malaysia selepas teringat akan insiden staf Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) mengeluarkan air yang bertakung di atas padang menggunakan penyodok semasa kelayakan Piala Asia 2023 menentang Oman pada 2022.

BACA LAGI: [VIDEO] Tuah silap nombor, pemain Turkiye bantu benam Georgia

BACA LAGI: [VIDEO] 'Harap cikgu tak cari saya', bintang muda Sepanyol terpaksa bawa 'homework' ke Euro 2024

Menerusi komen yang ditinggalkan penyokong, mereka berbangga apabila staf stadium di luar negara menggunakan cara sama dilakukan pekerja SNBJ.

"Orang luar tiru, bangga saya dengan Malaysia," kata Nabil Shahmi.

"Malaysia lagi legenda, pakai penyodok sampah sodok air dekat tengah padang," ujar Ammtiang.

"Tapi kalau tengok Bukit Jalil langsung tak ada longkang air," jelas Sir Lii.

Malah ada yang berseloroh selama ini staf SNBJ menggunakan teknik daripada Jerman memandangkan kejohanan Euro itu berlangsung di negara tersebut.

Berdasarkan video tular itu, ada juga staf stadium menolak air bertakung menggunakan kaki bagi mengelakkan berlakunya banjir di kawasan tersebut.

Dalam perlawanan itu, Georgia dimalukan 1-3 di tangan Turkiye di Signal Iduna Park, Dortmund, Jerman bagi saingan Kumpulan F.

Turkiye mendahului menerusi jaringan jarak jauh Mert Muldur sebelum Georgia bangkit mengikat kedudukan dengan gol daripada Georges Mikautadze.

Bintang muda Real Madrid, Arda Guler paling mencuri tumpuan selepas jaringan jarak jauhnya menghadiahkan gol kedua buat Turkiye.

Kerem Akturkoglu pula menutup sisa perjuangan Georgia yang tampil buat kali pertama di Euro 2024 dengan gol ketiga pada hujung permainan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram