[VIDEO] Fans Scotland tunjuk sisi murni Euro 2024, bantu payungi warga tua di Jerman


  • Podium
  • Khamis, 20 Jun 2024

Peminat setia Scotland boleh dikatakan sebagai salah sebuah kumpulan penyokong terbaik dalam Kejohanan Euro 2024. — Agensi

MEMASUKI hari kedua Kejohanan Euro 2024, pelbagai kisah kurang menarik didengari apabila penyokong beberapa kali melakukan kekecohan, baik di dalam mahupun di luar stadium.

Pertembungan antara penyokong Georgia dan Turkiye serta pergaduhan peminat setia England dan Serbia merupakan contoh terbaik untuk menceritakan suasana kejohanan.

Namun, di sebalik berita-berita kurang senang untuk didengari itu, hadir satu perkongsian cukup menarik melibatkan penyokong Scotland yang hadir ke Jerman demi Euro 2024.

BACA LAGI: [VIDEO] Tak perlu bedah, Mbappe terpaksa pakai topeng sepanjang Euro 2024

BACA LAGI: [VIDEO] Tak pernah berubah, fans England buat onar di Euro 2024

Dalam satu video tular di media sosial, kelihatan dua pengikut setia The Tartan Army membantu seorang warga emas dengan memegang payung buatnya ketika hujan turun lebat.

Dua pemuda berkenaan kelihatan mengenakan skirt tradisional di Scotland yang lebih dikenali sebagai 'kilt' dengan pakaian itu sering diperagakan penyokong sepanjang aksi Euro.

Turut kedengaran sorakan 'No Scotland, No Party' daripada orang ramai yang berada di kawasan sekeliling kerana masing-masing sudah tentu berbangga dengan kemuliaan ditunjukkan.

Berdasarkan laporan, individu yang dibantu difahamkan merupakan warga Jerman yang sedang bersiar-siar di bandar Cologne beberapa jam sebelum aksi menentang Switzerland berlangsung.

Perkara itu sedikit sebanyak memadamkan pandangan serong sesetengah orang terhadap Kejohanan Euro yang diadakan setiap empat tahun.

Setakat ini, Scotland yang berada dalam Kumpulan A sudah merekodkan satu mata daripada dua perlawanan hasil keputusan seri ketika berdepan Switzerland.

Peluang mereka untuk layak ke pusingan seterusnya boleh dikatakan sedikit tipis kerana kemenangan besar diperlukan dalam aksi penutup menentang Hungary.

Selain itu, skuad kendalian Steve Clarke perlu mengharapkan keajaiban daripada tuan rumah untuk membenam Switzerland jika mahu menduduki tangga dua teratas. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram