[VIDEO] Tak perlu bedah, Mbappe terpaksa pakai topeng sepanjang Euro 2024


  • Podium
  • Selasa, 18 Jun 2024

Darah dari hidung kelihatan mewarnai jersi Mbappe selepas pemain itu bertembung dengan pemain lawan. — Agensi

PASUKAN pilihan, Perancis memulakan kempen Kejohanan Euro 2024 dengan langkah kanan selepas meraih kemenangan tipis 1-0 dalam perlawanan pembukaan menentang Austria.

Dalam aksi yang berlangsung di Arena Dusseldorf, Jerman pada awal pagi Selasa, gol sendiri daripada Maximilian Wober pada babak pertama sudah cukup untuk menghadiahkan tiga mata buat skuad Les Blues.

Namun, penyokong Perancis seakan-akan kurang meraikan kejayaan berkenaan selepas tonggak utama mereka, Kylian Mbappe mengalami kecederaan pada penghujung permainan.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Saya lagi kacak dari Mbappe', Thuram label wajah penyerang Perancis seperti watak Ninja Turtle

BACA LAGI: [VIDEO] Kylian Mbappe umum tinggalkan PSG, tunggu masa sertai The Galacticos

Dia yang bertembung dengan pemain Austria, Kevin Danso ketika cuba menjaringkan gol jelas kelihatan tidak dapat meneruskan permainan sambil menutup wajahnya.

Keadaan sebenarnya dapat disaksikan selepas pasukan perubatan Perancis memberikannya rawatan dengan wajah penyerang baharu Real Madrid itu berlumuran darah dari hidungnya.

Situasi dialaminya boleh dikatakan agak teruk dengan dia terpaksa dibawa keluar dengan pengurus pasukan, Didier Deschamps enggan mengambil risiko terhadap bintang negaranya.

Berdasarkan laporan, Mbappe dikejarkan ke hospital selepas laporan awal mengatakan kapten skuad Les Blues terbabit terpaksa menjalani pembedahan segera.

Tetapi, menurut perkembangan terbaru, pemenang Anugerah Kasut Emas Piala Dunia 2022 itu difahamkan tidak perlu dibedah, namun perlu menggunakan topeng perlindungan pada perlawanan seterusnya.

Laporan tersebut sudah tentu cukup melegakan penyokong Perancis memandangkan kehadiran Mbappe amat diperlukan bagi muncul juara dalam Kejohanan Euro buat kali ketiga dalam sejarah.

Malah, sumbangan bekas penyerang Paris Saint-Germain (PSG) itu diperlukan dalam perlawanan akan datang apabila pasukannya bakal berdepan Belanda di Red Bull Arena, Leipzig pada Sabtu depan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram