PROGRAM Sentuhan Maya atau pasukan 'duta online' yang diperkenalkan dalam kalangan penjawat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) tidak melibatkan sebarang kos tambahan.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, inisiatif dengan tujuan mempromosikan produk dan perkhidmatan KPKT dengan lebih baik itu sebaliknya boleh menelan kos ratusan ribu ringgit sekiranya menggunakan key opinion leader (KOL) daripada pihak luar.
“Duta-duta online KPKT ini ialah para sukarelawan KPKT yang teruja untuk turut serta daripada pelbagai jabatan dan agensi di bawah KPKT,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
BACA LAGI: Penang perlu waspada pilihan striker dan rekod lampau boleh bantu KDA ke semi final Piala FA
BACA LAGI: [VIDEO] Lembu korban terlepas di LDP langgar kereta, perakam diminta tampil bantu siasatan
Nga Kor Ming.
Beliau berkata, program itu bertujuan membina kapasiti penjawat awam dalam penggunaan media sosial dan teknologi komunikasi baharu khususnya dalam era digitalisasi kini.
Nga turut menyampaikan mesej jelas kepada rakyat mengenai program-program, produk serta perkhidmatan yang ditawarkan oleh KPKT dan agensi di bawahnya, selain dapat memberi ruang untuk mereka menyuarakan pendapat secara terbuka dan kreatif mengenai perkhidmatan Kerajaan Madani.
“Inisiatif-inisiatif KPKT yang mesra rakyat seperti MyKiosk 2.0 dengan sewaan di bawah RM300 sebulan, Sistem Bank Data Perumahan Negara (Teduh) Jabatan Perumahan Negara untuk semakan latar belakang pemaju, kandungan pendidikan seperti cara menggunakan alat pemadam api dengan betul dan sebagainya adalah antara inisiatif dan kandungan yang patut dipromosikan.
“Latihan susulan juga disediakan oleh Unit Korporat dan Komunikasi KPKT untuk membantu penjawat awam menguasai media sosial masing-masing, sekali gus mengisi masa terluang selepas waktu kerja,” katanya.
Tambahnya lagi, program dalaman itu turut membantu membina imej positif kerajaan dengan menyampaikan maklumat yang sahih serta menangkis fitnah yang berleluasa.
Khamis lepas, Nga mengumumkan penubuhan pasukan 'duta online' itu yang terdiri daripada 200 kakitangan kementerian berkenaan bagi menangkis fitnah dan menyampaikan maklumat sahih serta dasar-dasar kerajaan secara efektif. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram