KEJOHANAN Euro yang sedang berlangsung di Jerman bermula Sabtu lalu berjaya meraih perhatian peminat bola sepak seluruh dunia kerana ia mengumpulkan lambakan bintang seperti Cristiano Ronaldo, Kylian Mbappe dan ramai lagi.
Tarikan turut diberikan peminat dalam negara kerana masing-masing setia untuk menyaksikan perlawanan meskipun terpaksa menunggu sehingga awal pagi.
Perkara itu sudah tentu sedikit pelik kerana tiada pemain import dalam Liga Super beraksi dalam kejohanan itu kali ini dengan bekas penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT), Dani Guiza merupakan yang terakhir berbuat demikian.
BACA LAGI: [VIDEO] Tak pernah berubah, fans England buat onar di Euro 2024
BACA LAGI: [VIDEO] Tewas tipis di tangan Itali, Albania cipta sejarah Euro ledak gol hanya 23 saat
Guiza membantu Sepanyol menjuarai Kejohanan Euro 2008 dengan beberapa gol dijaringkannya.
Namun, dengan Kejohanan Euro hanya diadakan sebanyak empat tahun sekali, tarikan dimilikinya sudah tentu sukar ditolak, lebih-lebih lagi selepas memasuki pusingan kalah mati.
Tetapi, tahukah anda bahawa sepanjang penubuhan Liga Super, terdapat beberapa pemain pernah terlibat dengan pertandingan itu, terutamanya di peringkat kelayakan.
Malah, apa yang lebih mengejutkan adalah apabila sebahagian daripada mereka pernah pulang melaporkan diri untuk negara masing-masing ketika beraksi dalam arena bola sepak tanah air.
Jadi, dengan 'demam' Kejohanan Euro terus dirasai, Majoriti menyenaraikan tiga import Liga Super yang pernah terlibat dalam kempen kelayakan.
1. Marc Vales (Kedah)
Kemasukan bek tengah dari Andorra, Marc Vales dalam Kedah Darul Aman (KDA) FC pada 2022 membawa tarikan dalam kalangan penyokong Hijau Kuning.
Dia yang pernah beraksi bersama Real Madrid C dan beberapa kelab kerdil di Sepanyol sememangnya diharapkan dapat membawa satu nilai baharu dalam pasukan.
Kemasukannya juga sesuai dengan kejayaan skuad Sang Kenari menempah slot dalam Piala AFC musim sebelumnya yang sekali gus membuatkan kelibat Vales cukup penting.
Vales masih aktif mewakili negaranya sehingga hari ini. — Agensi
Namun, tahukah anda bahawa ketika menyarung jersi Kedah, pemain yang kini beraksi buat Europa di Sepanyol masih aktif mewakili negara kelahirannya.
Ini termasuk ketika dia dipanggil dalam kempen kelayakan ketika mereka beraksi dalam kumpulan I di samping beberapa negara lain, termasuk Switzerland dan Romania.
Meskipun Andorra hanya berada di kedudukan tercorot, pencapaian Vales dipanggil sudah tentu diingati sehingga hari ini, lebih-lebih lagi dengan perkara sebegitu sukar diulangi.
2. Bosko Balaban (Selangor)
Berdasarkan sejarah gilang-gemilang Selangor, mereka pernah beberapa kali membawa masuk import berkualiti, termasuk dari benua Eropah.
Malah, ada dalam kalangan mereka yang disambar dengan pengalaman cukup mengagumkan kerana ada dalam kalangan mereka pernah diberikan peluang mewakili negara.
Salah seorang daripadanya adalah penyerang antarabangsa Croatia, Bosko Balaban yang merekodkan 35 penampilan secara keseluruhan buat negara kelahirannya.
Balaban tidak dipanggil untuk mewakili Croatia pada Kejohanan Euro. — Agensi
Kemasukannya pada 2012 boleh dikatakan kurang mencuri perhatian memandangkan pemain itu sendiri sudah berada di penghujung kariernya selain latar belakangnya tidak dikenali ramai.
Tetapi, bagi seorang peminat bola sepak tegar, mereka sudah tentu mengetahui bahawa penyerang yang kini berusia 45 tahun itu pernah beraksi untuk Croatia dalam kempen kelayakan Kejohanan Euro 2008.
Antara perlawanan yang menyaksikan Balaban diturunkan adalah ketika pasukan berkenaan membenam Andorra 7-0 dengan penyerang berkenaan sendiri menjaringkan satu gol.
Bagaimanapun, bekas pemain Aston Villa itu tidak berpeluang mewakili negaranya dalam Kejohanan Euro 2008 kerana penyerang lain yang beraksi di Eropah menjadi pilihannya.
3. Blaze Ilijoski (Kelantan)
Selepas Kelantan menjulang gelaran treble pada 2012, mereka seakan-akan hilang arah dalam membawa masuk pemain import dengan sebahagian besar daripada mereka tidak membawa pulangan berbaloi.
Namun, masih terdapat beberapa daripada mereka yang membuahkan hasil seperti mana diharapkan dengan penyerang, Blze Ilijoski yang dibawa dari negara kecil di Eropah, Macedonia Utara merupakan contoh terbaik.
Dia yang disambar berdasarkan pengalamannya di Thailand bersama BG Pathum United dijadikan sandaran buat skuad The Red Warriors (TRW) yang mahu seseorang berkualiti di posisinya.
Ilijoski merupakan seorang bintang tersendiri dalam skuad TRW. — Facebook/Kelantan FC
Tidak cukup dengan itu, Ilijoski turut menerima perhatian kerana pernah beraksi buat negara kelahirannya, termasuk dalam kempen Kelayakan Kejohanan Euro 2016.
Lebih menarik lagi, pemain yang kini tidak beraksi buat mana-mana kelab pernah beraksi di samping pemenang Liga Juara-Juara UEFA (UCL), Gordan Pandev sebanyak tiga kali sepanjang karier antarabangsanya.
Meskipun hanya pernah beraksi sebanyak 12 kali dan menjaringkan satu gol, ia membuktikan bahawa dia berjaya menarik perhatian skuad antarabangsa Macedonia Utara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram