PARIS Saint-Germain (PSG) menerima tamparan hebat apabila bintang bola sepaknya, Kylian Mbappe mengesahkan akan meninggalkan juara Perancis itu pada penghujung musim ini selepas tujuh tahun beraksi bersama kelab tersebut.
Pemain 25 tahun itu mengumumkan perkara berkenaan di laman X dan mengesahkan perlawanan terakhirnya di Parc des Princes ialah menentang Toulouse pada Ahad.
Sebelum ini, Mbappe sering dikaitkan dengan perpindahan keluar dari Paris dan dijangka menyertai Real Madrid sebaik kontraknya tamat musim ini.
BACA LAGI: [VIDEO] Hadiahkan kereta buat ayah antara 3 kebaikan 'tersorok' Faisal Halim
BACA LAGI: Bukan saja untuk Akhyar Rashid, TFC mahu menang demi Faisal Halim
"Hai semua, saya mahu mengumumkan bahawa ini merupakan tahun terakhir saya di Paris Saint-Germain.
"Saya tidak akan melanjutkan kontrak dan pengembaraan ini akan berakhir dalam beberapa minggu lagi.
"Saya akan bermain perlawanan terakhir saya di Parc des Princes pada Ahad. Saya bangga berpeluang menjadi sebahagian daripada kelab terbesar Perancis, salah satu kelab terbesar di dunia.
"Kelab yang membawa saya ke sini dan memberikan pengalaman pertama buat saya bermain di bawah tekanan, berkembang sebagai pemain bersama-sama antara pemain terbaik dalam sejarah, bertemu ramai orang. Mematangkan saya dengan kegemilangan dan kesilapan yang saya lakukan.
"Pertama sekali, saya ingin berterima kasih kepada rakan sepasukan yang pernah bersama saya, semua jurulatih, Unai Emery, Thomas Tuchel, Mauricio Pochettino, Christophe Galtier dan Luis Enrique.
"Tidak lupa juga Pengarah Sukan, Leonardo dan Luis Campos kerana sentiasa menemani saya. Semua kakitangan di kelab yang bekerja keras di belakang tabir.
"Saya tidak sangka begitu sukar untuk mengumumkan yang saya akan meninggalkan negara saya. Perancis, Ligue 1, liga yang cukup saya kenali.
"Tetapi saya memerlukan cabaran baharu selepas tujuh tahun. Ia sukar tetapi ada ada orang yang perlu saya beri penghargaan tertinggi. Terima kasih buat semua penyokong," kata Mbappe.
Sepanjang beraksi bersama PSG, Mbappe muncul penjaring terbanyak kelab dalam semua pertandingan di setiap kempen sejak berpindah secara tetap pada tahun 2018.
Penyerang berbisa itu membantu PSG menjulang tiga trofi Piala Perancis, dua kali kejuaraan liga, dan tiga kali Piala Super Perancis.
Mbappe berpeluang menamatkannya dengan satu lagi kejuaraan Piala Perancis apabila bertemu Lyon pada final akhir bulan ini.
Sekiranya khabar angin ke Real Madrid menjadi kenyataan, Mbappe dijangka akan menyarung jersi nombor 10 yang bakal ditinggalkan Luka Modric pada musim panas ini.
Kehadirannya bakal menyaksikan gandingan serangan paling berbisa di Eropah yang dibarisi Vinicius Jr dan Rodrygo serta dibantu oleh Jude Bellingham. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram