JOHOR Darul Ta'zim (JDT) mudah mara ke saingan suku akhir selepas menewaskan Kelantan Darul Naim (KDN) FC dengan keputusan 4-0 dalam suku akhir Piala FA 2023 di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, Johor pada Sabtu.
Malah, dalam perlawanan itu juga menyaksikan jurulatih utama pasukan, Hector Bidoglio memberi peluang kepada Murilo Henrique sebagai kesebelasan utama bersama enam pemain import lain.
Debut Murilo di pentas Piala FA itu menunjukkan bahawa JDT sudah menggunakan 10 pemain import seperti yang dibenarkan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dengan kini hanya Nicolao Dumitru sahaja belum melakukan penampilan pertama.
BACA LAGI: Belum sempat debut Liga Super, dah dengar khabar angin import baharu JDT kena 'loan' ke kelab luar
BACA LAG: Skrip berbeza dengan import JDT, ada kisah sadis 3 pemain tak sempat debut aksi pertama Liga Super
Sebelum ini heboh dalam kalangan penyokong mengenai status Dumitru selepas ada peminat mengesyaki bahawa pemain yang pernah bersama Nottingham Forest di England pada musim 2016/2017 itu sudah dipinjamkan ke pasukan lain.
Namun, khabar angin berkenaan sudah menemui jawapan sebenar apabila pemain berusia 32 tahun itu dilihat sudah gigih berlatih bersama para pemain Harimau Selatan lain sebagai persiapan saingan Liga Super.
Dumitru bagaimanapun masih belum boleh melakukan debutnya di pentas saingan domestik dan perkara itu kekal menimbulkan persoalan dalam kalangan penyokong mengenai nasibnya.
Oleh itu, kali ini Majoriti cuba merungkai kebarangkalian faktor pemain sayap kiri tersebut tidak pernah tampil dalam aksi domestik setakat ini dan hanya dilihat berada pada sesi latihan JDT.
1) Disimpan untuk saingan ACLE
Ada kemungkinan khidmat Dumitru disimpan untuk saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) yang dijangka bermula pada sekitar Ogos nanti dengan JDT mempunyai misi besar untuk berikan saingan sengit bagi perlawanan itu.
Hal ini kerana, pihak Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) membuat pemansuhan kuota pemain import untuk kesemua pasukan yang bertanding walaupun sebelum ini badan induk itu menggunapakai kuota enam import.
Dengan pengalaman Dumitru yang pernah mewakili Buriram United di saingan ACL pada musim 2023/2024, bekas pemain skuad Bawah-20 tahun Itali itu mampu membantu JDT di pentas teringgi Asia berkenaan.
Untuk ACLE, JDT juga difahamkan ingin membawa masuk pemain dari Korea Selatan iaitu Park Jun-heong yang beraksi di kelab Thailand, Ratchaburi FC selepas selepas kontraknya bersama-sama kelabnya tamat pada 30 Jun 2024.
2) Ada pilihan lebih baik
Arif Aiman merupakan pemain sayap utama Harimau Selatan. — Facebook/JDT
Faktor Dumitru masih tidak digunakan juga berkemungkinan kerana juara bertahan Liga Super 10 kali berturut-turut itu masih mempunyai banyak pilihan di bahagian sayap mereka.
Misalnya kini, Harimau Selatan banyak mengharapkan khidmat Arif Aiman Hanapi, Oscar Arribas, Fernando Forestieri, Ramadhan Saifullah, Mohamadou Sumareh dan kadangkala Heberty juga ditolak ke bahagian sayap.
Dengan pilihan berkualiti yang sudah sinonim dengan saingan domestik itu, tidak hairan jika Dumitru bukan pilihan utama untuk diserap sebagai pemain di bahagian sayap Harimau Selatan bagi saingan Liga M.
Sekiranya Dumitru ingin bermain di peringkat domestik, pemain campuran Itali-Romania itu perlu berharap majikannya akan menamatkan kontrak seorang pemain import pada jendela perpindahan kedua nanti.
3) Kecederaan lalu
Selain keadaan mempunyai pilihan yang banyak dan disimpan untuk saingan ACLE, sejarah kecederaan pemain tinggi lampai itu juga boleh menyebabkan bintang berkenaan diperap lama oleh JDT.
Sejak bergelar pemain profesional pada 2010, Dumitru ditimpa sejarah kecederaan yang agak parah sebanyak tiga kali iaitu pada saingan 2010/2011, 2017/2018 dan pada musim 2020/2021.
Kecederaan terbaharu Dumitru pada musim 2020/2021 ketika bersama pasukan Liga Korea, Suwon Samsung Bluewing, yang menyaksikan dia perlu berehat selama 51 hari dek kecederaan kaki dialaminya.
Walaupun perkara itu sudah hampir dua tahun berlalu namun ada situasi sebegitu rupa masih menghantui sesetengah pemain sehingga mereka masih mudah untuk ditimpa isu kecederaan lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram