[VIDEO] Drama penalti, perang mulut dengan import Eropah punca Kpah ‘merajuk’ tak ambil sepakan?


  • Podium
  • Sabtu, 15 Jun 2024

Skuad Tok Gajah terpaksa akur dengan kekalahan kepada Penang FC yang menyingkirkan mereka daripada Piala FA. — Facebook/Sri Pahang FC

PERJALANAN Sri Pahang FC dalam saingan Piala FA musim ini terhenti selepas mereka tersingkir di tangan Penang FC dalam aksi berlangsung di Stadium Temerloh, Pahang pada Jumaat.

Perlawanan yang berakhir dengan keputusan seri 1-1 itu kemudiannya diheret ke penentuan sepakan penalti dengan nasib jelas tidak memihak kepada skuad Tok Gajah.

Selepas sepakan Mykola Ahapov diselamatkan penjaga gol lawan, penalti bek tengah, Fadhli Shas pula terkena palang dengan ia cukup meruntun hati penyokong kelab Pantai Timur itu.

BACA LAGI: Tiga tonggak Sri Pahang luah sedang 'diuji', petunjuk halus alami isu kewangan

BACA LAGI: Penalti melangit Fadhli Shas singkir Sri Pahang, Penang bakal jumpa Kedah di suku akhir

448257486_841625301332836_1103726848223993200_n

Kpah (kiri) tidak mengambil sepakannya dalam penentuan sepakan penalti. Facebook/Sri Pahang FC

Jadi, dengan keputusan 4-3 memihak kepada skuad Harimau Kumbang dalam penentuan tersebut, Sri Pahang FC hanya mampu akur apabila ditunjukkan jalan keluar awal daripada pertandingan berkenaan.

Namun, di sebalik kekalahan tersebut, penyokong mula mempersoalkan ketiadaan penyerang utama, Kpah Sherman dalam senarai pengambil sepakan penalti.

Dia yang dikenali dengan penyudah cukup tajam sudah tentu menjadi pilihan lebih baik untuk mengambil sepakan berbanding Fadhli atau Mykola sendiri.

Teka-teki itu seakan-akan terjawab selepas terdapat satu rakaman penyokong memaparkan penyerang kebangsaan Liberia berkenaan seperti berperang mulut dengan rakan sepasukannya dari Serbia, Aleksandar Cvetkovic.

Dalam video berdurasi 14 saat itu, Kpah kelihatan duduk di tepi padang sementara barisan kejurulatihan Sri Pahang FC cuba mempersiapkan pasukan untuk penentuan sepakan penalti.

Bagaimanapun, dalam usahanya menyuntik motivasi terhadap anak-anak buahnya, jelas kelihatan kedua-dua pemain itu seakan-akan bertikam lidah.

Meskipun tidak diketahui punca sebenar di sebalik drama berkenaan, suara penyokong yang meminta mereka untuk bersabar sudah cukup untuk menceritakan salah faham antara satu sama lain.

Penyerang tinggi lampai itu kemudiannya cuba ditenangkan penjaga gol, Zarif Irfan Hashidmuddin sementara Cvetkovic hanya mampu melepaskan kemarahannya seorang diri.

Tetapi, dalam sesi sidang media selepas perlawanan, Kpah tidak menceritakan situasi tersebut dengan hanya mengatakan punca dia tidak mahu sepakan penalti adalah kerana tidak dapat memberikan sepenuh perhatian.

Penyingkiran daripada saingan Piala FA itu memberi ruang buat Sri Pahang FC fokus kepada kancah Liga Super dengan mereka bakal menerima kunjungan pendahulu, Johor Darul Ta'zim pada 22 Jun akan datang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram