LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) memuji tindakan proaktif Perak FC dalam usaha membanteras penjualan produk tiruan yang semakin merisaukan di pasaran.
Terdahulu, pihak pengurusan Perak dan Cheetah sebagai syarikat pengeluar jersi pasukan itu mengadakan pertemuan dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor untuk satu kerjasama dalam mengesan produk tiruan di pasaran.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam menganggap tindakan Perak yang memerangi habis-habisan ‘lanun cetak rompak’ ini adalah sebuah tindakan yang baik demi kelangsungan pendapatan serta kestabilan kewangan kelab.
BACA LAGI: [VIDEO] Aksi tackle tak sengaja di Setia Alam jadi modal fans Indonesia komen lebih-lebih
BACA LAGI: 'Otai masih berbisa', Amri Yahyah, Indra Putra ledak gol bersama PT Athletic
Perak FC mengadakan pertemuan dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor.
“Ini adalah usaha yang baik pihak pengurusan Perak FC bersama dengan penaja Cheetah dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor.
"Ia merupakan usaha untuk mengesan serta menghapuskan penjualan barangan tiruan kelab khususnya jersi rasmi kelab oleh pihak yang tidak bertanggungjawab ini.
“Bagi MFL, tindakan ini akan memberi mesej jelas kepada pihak berkenaan untuk tidak sewenang wenangnya mengeluarkan produk tiruan yang memberi kesan buruk kepada pendapatan kelab-kelab Liga Malaysia serta industri sukan bola sepak negara.
“Adalah tanggungjawab semua pihak termasuk penyokong-penyokong dalam memerangi barangan cetak rompak demi kelangsungan pendapatan serta kestabilan kewangan kelab-kelab,” katanya.
Sebelum ini, Perak mengejutkan industri bola sepak Malaysia apabila mengeluarkan jersi Perak 'fans issue' dengan harga serendah RM39 sahaja, manakala bagi Player Issue, harga yang ditetapkan untuk pembelian adalah RM159.
Harga yang ditawarkan Perak itu jauh lebih rendah berbanding keluaran muism yang lalu sekali gus menggembirakan hati penyokong pasukan The Bos Gaurus (TBG) yang sememangnya mahu mendapatkan jersi aslidengan harga yang mampu milik. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram