Hadi Fayyadh patut ikut langkah ex JDT dan tonggak Sabah


  • Podium
  • Khamis, 13 Jun 2024

Hadi Fayyadh hanya merekodkan satu hantaran bantuan dan masih buntu mencetak gol bersama Perak FC. — Facebook/PerakFC

PERNAH mencetuskan fenomena dalam arena bola sepak tanah air apabila mendapat tawaran untuk berakdi di saingan Liga Jepun pada suatu ketika dahulu, namun kini nama Muhd Hadi Fayyadh tidak lagi menjadi tumpuan para penyokong.

Masih berada di kemuncak karier namun kelibat Hadi Fayyadh seperti dalam kelompok orang yang sedang menghitung hari untuk menggantung but bola sepak mereka dek kelibatnya sudah semakin tidak kelihatan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).

Pada Januari 2023, Hadi Fayyadh berhijrah ke Perak FC dan ramai penyokong bola sepak tanah air tidak sabar untuk melihat aksinya selepas dia berkelana di Liga Jepun (J-League) selama tiga musim sejak 2019.

BACA LAGI: Ramon Marcote petik Selangor, Kedah, Sabah dan kelab Pantai Timur calon kuat saingan JDT

BACA LAGI: Selangor FC cari jalan terbaik, Faisal Halim dapat kembali beraksi musim ini

Namun begitu, selepas setahun bersama Perak FC dan dipinjamkan pula ke PDRM FC pada pusingan kedua Liga M, penyokong sudah mulai mencari-cari dimana keberadaan pemain berkenaan dalam skuad TBG.

Berdasarkan pengamatan Majoriti di media sosial rasmi Perak FC, kelibat pemain berusia 24 tahun itu masih berada di padang latihan namun belum mendapatkan kepercayaan Yusri Che Lah untuk beraksi di saingan Liga Super.

Melihat situasi semasa Hadi Fayyadh yang sukar mendapat tempat dalam skuad Perak sebagai penyerang, penyokong mencadangkan agar Yusri Che Lah menurunkan pemain itu di posisi pertahanan.

Cadangan itu dikemukakan apabila saiz fizikal bekas graduan Akademi Johor Darul Ta'zim (JDT) yang berketinggian 1.84 meter (m) tampak sesuai untuk beraksi sebagai pertahanan.

Pertukaran posisi bukan perkara baharu dalam bola sepak, malah beberapa pemain berpengalaman Liga M juga pernah membuat perkara sama. Sehubungan dengan itu, Hadi Fayyadh usah gusar kerana terdapat tiga pemain Liga Super boleh menjadi rujukannya;

1) Adam Nor Azlin

Adam Nor Azlin beraksi sebagai penyerang di awal kariernya dengan dia juga mencipta nama sebagai salah seorang pemain barisan hadapan terbaik Selangor FC sekitar musim 2015 hingga 2017.

Eksperimen awal yang dilakukan oleh bekas pengendali Selangor, P Maniam menjadikan Adam sebagai bek tengah nyata memberi hasil buat pemain berketinggian 1.72 meter itu apabila posisi berkenaan kekal sebagai identitinya.

Posisi berkenaan juga membantu Adam menempa nama selaku pertahanan muda terbaik dalam negara dan berjaya membantu skuad Harimau Muda melangkah ke peringkat suku akhir Piala Asia B-23 pada 2018.

Kini, Adam masih beraksi sebagai bek tengah namun dengan kelab berbeza iaitu Sri Pahang. Walaupun sebagai pertahanan, penyudah pemain berusia 28 tahun itu masih berbisa apabila baru sahaja mencetak gol buat Tok Gajah ketika menentang Kuching City.

Adam mencipta nama selaku penjaring untuk membantu Sri Pahang mencuri satu mata ketika berkunjung ke Stadium Negeri, Sarawak yang menyaksikan keputusan berakhir dengan 2-2 pada 19 Mei lalu.

2) Jafri Firdaus Chew

Jika cerita Adam mengubah posisi kerana permintaan jurulatih, Jafri Firdaus Chew pula beralih posisi penyerang ke pertahanan kanan ketika bersama Penang FC atas pilihannya sendiri.

Menyertai Penang dari musim 2020 hingga 2022, keputusan itu diambil demi memastikan Jafri Chew boleh mendapat minit bermain yang lebih kerap setelah berusaha sebaik mungkin untuk bersaing dengan penyerang import.

Penghijrahan pemain berusia 27 tahun itu ke Sabah pada 2023 juga pada awalnya banyak beraksi sebagai pertahanan kanan namun turut diselit dengan posisi asalnya sebagai penyerang tengah.

Sepanjang beraksi sebagai penyerang tengah untuk tiga perlawanan musim ini bersama The Rhinos, Jafri Chew masih membuktikan kebolehannya sebagai peledak dengan mencetak satu gol ketika The Rhinos menang 2-1 ke atas Kuching City pada 25 Mei lalu.

3) Aidil Zafuan

Siapa sangka bekas pemain pertahanan veteran Johor Darul Ta'zim (JDT), Aidil Zafuan pernah beraksi sebagai penyerang ketika menuntut ilmu Sekolah Sukan Bukit Jalil (SNBJ) bersama kembarnya, Zaquan Adha.

Namun, Coach Amin iaitu jurulatih mereka ketika di bangku sekolah membuat keputusan untuk pisahkan pasangan adik-beradik itu demi masa depan bola sepak selepas tamat pelajaran.

Percaturan Coach Amin nyata membuahkan hasil apabila kedua-dua mereka bermain dengan sangat baik di posisi masing-masing dan antara pemain senior yang banyak menyumbang untuk tanah air.

Kini, Aidil yang kini dilantik menjadi jurulatih Harimau Selatan telah menjuarai 19 trofi dalam semua kelab yang pernah diwakilinya sepanjang karier sebagai pertahanan tengah terbaik negara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram