[VIDEO] Pemandu Persona sambil pegang objek serupa pistol ditahan bersama pedang di Kuala Terengganu


  • 112
  • Jumaat, 14 Jun 2024

Satu rakaman yang tular di media sosial berdurasi 38 saat memaparkan seorang pemandu lelaki memandu Proton Persona sambil memegang objek menyerupai pistol di Kuala Terengganu pada Khamis.

SEORANG lelaki disyaki individu dalam video tular yang memandu kereta Proton Persona berwarna putih sambil memegang objek menyerupai pistol di Jalan Sultan Mahmud, Kuala Terengganu, Terengganu pada Khamis sudah ditahan.

Memetik laporan BuletinTV3, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, suspek berusia 37 itu ditahan di tepi jalan di Kampung Gong Tok Nasek di sini kira-kira pukul 10.20 malam hari yang sama.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas beberapa barang kes milik suspek termasuk sebuah kereta Proton Persona berwarna putih.

BACA LAGI: Pelajar UMS protes #KamiMahuAir tanpa permit depan pejabat Ketua Menteri Sabah

BACA LAGI: ‘Pattern itu kita nampak, motif kita tidak ada’, polis respons isu 3 bintang bola sepak termasuk serangan asid Faisal Halim

“Siasatan awal mendapati suspek memiliki empat rekod jenayah lampau berkait kes menceroboh dan penyalahgunaan dadah selain turut positif methamphetamine ketika ditahan.

“Kita turut merampas sebilah pedang kayu berhulu plastik yang berbalut tali berwarna hitam berukuran 102 sentimeter (cm), sarung pedang sepanjang 76cm dan satu laras pistol bersama kelopak bercetak Glock.

“Siasatan juga mendapati pistol yang digunakan adalah palsu dengan kes disiasat di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960,” katanya.

Terdahulu, tular di laman media sosial Facebook sebuah video berdurasi 38 saat menunjukkan seorang pemandu lelaki memegang objek menyerupai pistol. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram