PASUKAN Liga A1 Semi Pro iaitu Kuala Lumpur (KL) Rovers difahamkan akan tetap menghantar skuad mereka ke Sabah bagi aksi Pusingan 16 Piala FA walaupun sebelum ini dikatakan hampir menarik diri.
Memetik laporan dari Harian Metro, pasukan Lembah Klang berkenaan pada awalnya dikatakan membuat pertimbangan untuk menarik diri daripada saingan terbabit dipercayai kerana kekurangan peruntukan membeli tiket penerbangan ke Sabah.
Tiket penerbangan ke Negeri Di Bawah Baru itu dikatakan melambung tinggi susulan perlawanan pusingan kalah mati berkenaan berlangsung sebelum perayaan Hari Raya Aidiladha yang dijadualkan pada 17 Jun 2024.
BACA LAGI: 'Rela kerja kampung gaji RM50, janji keluarga selamat', Faisal Halim sebak di sidang media
BACA LAGI: Mungkin saya perlu berubah jadi sombong — Faisal Halim
"KL Rovers telah meminta jasa baik Sabah untuk menunda perlawanan Piala FA di Likas Sabtu ini, gara-gara kos penerbangan yang melambung tinggi.
"Mana tidaknya, perlawanan itu bertembung dengan cuti sempena Aidiladha maka tahu-tahulah macam mana harga flight di musim perayaan. Malang buat mereka, Sabah tidak bersetuju dan mahu teruskan perlawanan pada tarikh sama.
"Kalau berlangsung di luar musim perayaan mungkin harga tiket lebih rahmah kan? Tapi KL Rovers akur dan disebabkan kekangan bajet, mereka akan terbang ke sana dengan skuad terhad.
"Semoga ada hikmah buat KL Rovers dan ini memberi motivasi kepada mereka untuk mencipta kejutan dalam saingan Piala FA," memetik hantaran dari laman penyokong bola sepak domestik, Otai Sukan yang bersimpati dengan keadaan KL Rovers.
Poster perlawanan antara Sabah menentang KL Rovers.
Meninjau ruangan komen laman tersebut bagaimanapun melihat respons sesetengah penyokong Sabah FC yang lebih berasa simpati dengan pasukan kesayangan mereka iaitu The Rhinos.
Situasi Sabah FC jauh lebih menyedihkan untuk penyokong apabila mereka perlu menggunakan wang yang banyak sebagai peruntukan kos penerbangan dek perlawanan lagi banyak dilakukan di Semenanjung tanah air.
Dengan rata-rata pasukan Liga Malaysia (Liga M) berpangkalan di Semenanjung Malaysia, Sabah sekurang-kurangnya perlu 'terbang' sebanyak 12 kali termasuk penerbangan ke Kuching, Sarawak bagi menentang Kuching City.
KL Rovers kini menghuni tempat ketiga dalam saingan Liga A1 Semi-Pro.
"Itulah yang kami rasakan selama ini. Kos penerbangan pergi dan balik ke Sabah terlalu mahal. Sedangkan dalam Malaysia bukan ke luar negara," kata penyokong Sang Badak, Laimon LJ.
"Team Borneo (Sabah dan Sarawak) dah lama kos tinggi, masih santai lagi," tambah penyokong Sang Badak, Mangoman White.
Walaupun mempunyai sedikit kekangan dari segi kewangan namun kehebatan skuad kendalian Wan Mustafa tidak boleh dianggap enteng oleh Sabah dengan mereka kini berada dalam prestasi terbaik.
KL Rovers kini memenangi dua perlawanan awal Liga A1 Semi-Pro MBSB Bank Championship dan kini menduduki tangga ketiga liga dengan enam mata. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram