Ulangi skrip Adib Raop, ubi Sri Pahang dan bintang muda JDT wajar diberi peluang 'first timer'


  • Podium
  • Khamis, 13 Jun 2024

Nistelrooy wajar diberi peluang oleh Pan-gon dalam kem skuad kebangsaan di masa akan datang.

PELUANG yang diberikan Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon telah membuka ruang buat pemain muda meningkat naik, Adib Raop dalam meneruskan karier bersama skuad kebangsaan di masa akan datang.

Adib Raop memanfaatkan peluang beraksi dalam penampilan sulung bersama Harimau Malaya dengan membantu skuad kebangsaan mencetak jaringan gol.

Disebabkan pemain berusia 24 tahun itu mampu memberikan kelainan dalam skuad Harimau Malaya, rata-rata penyokong berharap Pan-gon dapat memberi peluang buat pemain muda lain membarisi pasukan kebangsaan di masa akan datang.

BACA LAGI: 'Lebih baik duduk bench JDT', penyokong persoal corak permainan anak jati Kedah di HM

BACA LAGI: 'Dah sampai masa beri pendedahan', Adib Raop jadi modal penyokong banding dengan Akhyar Rashid

Majoriti senaraikan tiga pemain muda wajar dapat peluang Pan-gon untuk turun beraksi bersama Harimau Malaya di masa akan datang:

1. Gabriel Nistelrooy

Kim Pan-gon wajar memberikan peluang buat anak kelahiran Sarawak, Gabriel Nistelrooy untuk beraksi bersama skuad kebangsaan selepas tampil cemerlang dalam kejohahan Piala MFL musim lalu.

Musim ini, Nistelrooy berjaya memulakan langkah kanan Piala MFL musim 2024/25 dengan jaringan hatrik yang menyaksikan Harimau Selatan mengutip tiga mata penuh dengan keputusan 3-0 ketika menentang Sabah B-23 pada 20 Mei lalu.

Pujian sudah tentu diberikan terhadap pemain berusia 24 tahun berkenaan yang semakin matang dalam gaya permainannya meskipun sudah bertahun-tahun bakatnya disedari orang ramai.

Jika Darren Lok memerlukan tempoh rehat yang lama, barisan kejurulatihan Harimau Malaya mungkin boleh memanggil bintang muda JDT itu.

Saiful

Saiful (kiri) menangkis segala asakan pihak lawan ketika membantu Sri Pahang.

2. Saiful Jamaluddin

Saiful Jamaluddin, pemain muda berusia 22 tahun berjaya mencuri mata-mata penyokong yang hadir di stadium dengan aksi nakalnya dalam menangkis segala asakan pihak lawan ketika Sri Pahang menewaskan Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) dengan jaringan 1-0 menerusi sepakan percuma Manuel Hidalgo di Stadium Temerloh, Pahang pada 11 Mei lalu.

Ketika perlawanan menentang Kelantan, Saiful memudahkan urusan Stefano Brundo dan Kuvondik Ruziev untuk membawa bola ke dalam kawasan pertahanan pihak lawan.

Ia merupakan satu persembahan yang amat baik ditonjolkan bekas pemain Akademi Felda United itu sehingga mendapat pujian daripada pengendalinya, Fandi Ahmad selepas perlawanan berkenaan.

Jika Pan-gon memberikan peluang buat Saiful, pastinya dia boleh menjadi pengganti masa jangka panjang buat Brendan Gan yang sudah semakin berusia.

3. Ubaidullah Shamsul

Melihat kepada rekod pertahanan Terengganu FC setakat tiga perlawanan Liga Super, Sang Penyu merupakan antara pasukan terbaik dalam liga dengan hanya sekali dibolosi ketika berdepan Perak FC.

Salah seorang watak utama di sebalik perkara tersebut ialah pemain muda, Ubaidullah Shamsul Fazili yang baru sahaja diberikan peluang dalam pasukan senior musim lalu.

Tenang, sering berkomunikasi dan pantas menghidu ancaman lawan merupakan salah satu kunci utama di sebalik kehadirannya dalam kesebelasan utama Sang Penyu.

Dengan Safwan Mazlan yang sudah pun mendapat peluang beraksi dalam kesebelasan utama Harimau Malaya, adakah Ubaidullah wajar diberi peluang untuk membuktikan kemampuannya di skuad kebangsaan pada masa akan datang? — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram