PENYOKONG Selangor sekali lagi menerima berita buruk selepas pemerhati bola sepak, Zulhelmi Zainal Azam mengesahkan bintang baharu Gergasi Merah, Reziq Bani Hani terpaksa berehat panjang.
Reziq menerima kecederaan tersebut selepas beraksi dalam perlawanan akhir kejohanan empat penjuru, RCTI Premium Sports menentang Persija Jakarta awal bulan ini di Indonesia.
Ia bagai tamparan hebat buat skuad kendalian Nidzam Jamil yang kehilangan tonggak utama pasukan, Muhammad Faisal Halim yang terpaksa berehat panjang selepas menjadi mangsa simbahan asid pada bulan lalu di pusat beli-belah sekitar Petaling Jaya, Selangor.
BACA LAGI: Edgar-Kahe paling sukar dilupakan fans Sang Kenari, dianggap ‘scam’ terbesar dalam sejarah
Menerusi perkongsian Zulhelmi dalam laman X, Reziq dijangka berehat selama enam minggu dan terlepas perlawanan pusingan ke-16 Piala FA menentang Negeri Sembilan pada 15 Jun nanti.
Namun begitu, penyokong Selangor tidak perlu khuatir kerana penyerang Jordan itu sudah mula menjalani latihan pemulihan bersama pegawai perubatan Gergasi Merah.
Reziq juga dilihat sudah melakukan latihan berintensiti tinggi dengan mengangkat berat dan beberapa senaman yang memerlukan kekuatan kaki.
Menerusi perkongsian @Khanphysio di Instagram, kelihatan Reziq sedang menjalani latihan pemulihan.
Jika semua berjalan lancar, Reziq berkemungkinan kembali lebih awal namun memerlukan ‘fitness match’ yang tinggi untuk beraksi dalam kesebelasan utama pasukan kerana tidak dapat bermain selama sebulan.
Sebelum ini, Selangor menjuarai kejohanan RCTI Premium Sports selepas mudah menundukkan Persija Jakarta dengan keputusan 1-0 namun terpaksa menerima berita buruk selepas kehilangan Reziq dalam perlawanan akhir itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram