Edgar-Kahe paling sukar dilupakan fans Sang Kenari, dianggap ‘scam’ terbesar dalam sejarah


  • Podium
  • Rabu, 12 Jun 2024

Kahe hanya sempat melakukan 12 penampilan bersama Sang Kenari.

PASUKAN Liga Super pastinya tidak akan terlepas dengan kehadiran pemain import baharu setiap musim kerana mahu memperkukuhkan skuad masing-masing bagi mencabar trofi Liga Super yang sudah sekian lama dipegang oleh Johor Darul Ta'zim (JDT) selama sedekad.

Namun tidak semua pemain import yang hadir mampu memberikan nafas baharu buat pasukan meskipun hadir dengan reputasi yang sangat hebat sebelum ini.

Kedah seumpamanya kerap kali menerima pemain import yang tidak berkualiti meskipun bintang itu hadir dengan reputasi besar dalam liga yang disertai mereka sebelum ke Malaysia.

Majoriti senaraikan antara tiga pemain import yang pernah mendapat kritikan hebat oleh penyokong Sang Kenari sepanjang menyarung jersi Hijau Kuning:

1. Edgar Bernhardt

Bekas kapten skuad kebangsaan Republik Kyrgyz, Edgar Bernhardt antara individu yang mempunyai reputasi besar sebelum menyertai Sang Kenari pada 2019.

Khidmat Edgar hanya bertahan selama enam bulan sebelum dilepaskan oleh pihak pengurusan kerana tidak menghadirkan sebarang impak positif buat barisan tengah Kedah.

Sebelum menyertai Kedah, Edgar banyak beraksi di Eropah dalam Liga Jerman, Poland, Finland, Belanda dan sekitar Asia.

Bersama Kedah, Edgar hanya tampil dalam lapan perlawanan dan sempat melakukan lima bantuan jaringan (assist) sebelum menyertai kelab Bangladesh, Abahani Ltd.

2. Carlos Eduardo (Kahe)

Pada musim 2016, penyokong Kedah pastinya tidak boleh melupai kehadiran penyerang Brazil, Carlos Eduardo yang pernah beraksi dalam Liga Jerman bersama Borussia Monchengladbach.

Walaupun hadir reputasi sebagai bekas pemain Borussia Monchengladbach, Carlos Eduardo atau lebih dikenali dengan Kahe hanya sempat melakukan 12 penampilan bersama Sang Kenari.

Dalam 12 penampilan, Kahe yang hanya melakukan empat jaringan malah pemain import seperti Sandro Silva, Shane Smeltz, Thiago Agusto dan Bang Seung-hwan lebih menyerlah daripada bekas bintang Palmeiras itu.

Kini, Kahe sudah pun bersara daripada arena bola sepak selepas kali terakhir mewakili pasukan Turkiye, Yeni Amasya sebelum menggantung but sepenuhnya pada 2018.

3. Pablo Pallares

Hadir bersama sentuhan jurulatih Sepanyol, Ramon Marcote, Pablo Pallares mungkin boleh dikategorikan antara pemain paling 'flop' pernah dimiliki Kedah pada 2018.

Dalam lapan penampilan, Pallares berjaya menjaringkan tiga gol sebelum dilepaskan oleh pihak pengurusan Kedah pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia pada tahun sama.

Bekas pemain UD Almeria itu kembali ke Sepanyol selepas tidak diperlukan Sang Kenari dan banyak beraksi dalam liga bawahan negara kelahirannya,

Sehingga kini, Pallares masih aktif bermain bola sepak namun tidak mempunyai kelab selepas kali terakhir beraksi untuk kelab bawahan Liga Sepanyol. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram