SKUAD kebangsaan terpaksa menelan kepahitan selepas gagal meraih kemenangan berdepan Republik Kyrgyz apabila hanya berpuas hati dengan keputusan 1-1 dalam aksi yang berlangsung di Bishkek pada Jumaat lalu.
Kekurangan beberapa tonggak utama skuad Harimau Malaya seperti Faisal Halim, Arif Aiman Hanapi dan Ahmad Syihan Hazmi nampak memberi kesan kepada corak permainan anak-anak buah Kim Pan-gon.
Berikutan ketiadaan tunjang utama pasukan, penyokong mula menyeru agar Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melakukan sesuatu dengan memburu pemain-pemain warisan di luar negara untuk kebaikan Harimau Malaya.
BACA LAGI: Selangor FC cari jalan terbaik, Faisal Halim dapat kembali beraksi musim ini
BACA LAGI: 'Otai masih berbisa', Amri Yahyah, Indra Putra ledak gol bersama PT Athletic
Hal ini kerana, pemain-pemain warisan sedia ada ketika ini sudahpun berusia dengan prestasi yang kurang cemerlang ditampilkan.
Dalam pada itu, nama pertahanan Grasshopper, Joshua Laws menjadi perhatian penyokong tanah air kerana dikhabarkan mempunyai darah campuran Malaysia.
Perkara tersebut dikongsikan oleh Frfuturetalents di laman Instagram yang memaparkan Joshua kini beraksi dalam saingan Liga Super di Switzerland untuk kelab Grasshopper.
Difahamkan, Joshua yang dilahirkan di Glasgow, Scotland itu mempunyai pertalian darah dengan Malaysia menerusi ayahnya yang berasal dari Tawau, Sabah.
Ia sekali gus menjadikannya layak untuk mewakili pasukan bola sepak Malaysia, Australia dan Scotland.
Beraksi di posisi bek tengah, kehadiran Joshua Laws dijangka berpeluang untuk menghalang hantaran dan rembatan merbahaya ke pintu gawang sendiri.
Joshua Laws ketika ini mempunyai dua tahun kontrak bersama kelab Grasshoppers. — Agensi
Difahamkan, pemain berketinggian 1.83 meter itu pernah beraksi bersama Australia Bawah 23 Tahun (B-23) bagi musim 2020/2021.
Sudah pasti pengalaman pemain berusia 26 tahun itu dijangka berpotensi membantu skuad kebangsaan untuk meraih keputusan positif di pentas Asia.
Bukan itu sahaja, kelebihan kaki kirinya membolehkan Joshua beraksi dengan cemerlang dalam semua posisi.
Tidak salah andainya FAM mahu mempertimbang nama Joshua Laws untuk bermain bersama skuad Harimau Malaya.
Sekiranya Joshua berjaya mendapatkan tempat di salah sebuah kelab di Liga Malaysia, tentunya dia berpotensi dapat mengembangkan bakat yang ada menggunakan rencah bola sepak Asia yang akan memberi manfaat kepada Harimau Malaya suatu ketika nanti.
Jika Joshua diberikan pilihan untuk membuat penampilan di Malaysia, kelab seperti Johor Darul Ta'zim dan Selangor FC boleh menjadi destinasi sesuai kerana kedua-dua kelab itu mempunyai kemampuan serta fasiliti untuk menjaga karier bola sepaknya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram