ATLET sukan tempur negara, Johan 'Jojo' Ghazali tumbang buat pertama kali dalam ONE Championship selepas kalah kepada wakil Vietnam, Nguyen Tran Duy Nhat di Bangkok Thailand.
Memetik laporan Stadium Astro, dalam pertarungan yang menyaksikan perbezaan ketara dari segi umur, kudrat Jojo bagaimana pun tewas kepada pengalaman yang dimiliki oleh Nguyen yang lebih tenang dalam pertarungan ini.
Dalam pertarungan tersebut, Jojo menggunakan strategi serangan bertali arus untuk menewaskan Nguyen namun begitu usaha tidak membuahkan hasil.
BACA LAGI: Jojo Ghazali, pasukan sepak takraw dipilih terima Anugerah Khas SAM-100Plus 2023
BACA LAGI: 'New era of Muay Thai', selain Jojo, Rifdean antara 3 mula tempa nama sukan tinju
Taktik serangan yang dilakukan oleh Jojo diulangi hingga ke pusingan kedua dan ketiga. Namun begitu, pihak juri kemudiannya membuat keputusan untuk memberikan kemenangan kepada Nguyen.
Ia merupakan kekalahan pertama Jojo dalam kejohanan ini dan atlet Muay Thai itu masih lagi belum tewas dengan keputusan knockout (KO).
Walaupun tewas, namun semangat juang ditampilkan oleh Jojo meraih pujian penyokong yang melihat aksinya.
Ramai penyokong yang berasa lega kerana Jojo tidak kalah secara knockout. Malah, ada yang berpendapat Jojo terperangkap dengan permainan main selamat (play safe) yang ditampikan Nguyen.
"Kalah pengalaman. Nguyen main relaks, cari peluang je. Jojo tak macam sebelum ni agresif. Biar pun tewas janji tak knockout. Lasak juga budak Jojo ni," kata penyokong Roz Airen.
"Jojo kalah pengalaman saja. Cuma kalau Jojo kawal keyakinan tu mungkin boleh menang," ujar Shukri Abdul Wahab.
"Dari segi fizikal orang muda kuat sikit. Dari segi pengalaman memang orang tualah. Insya-ALLAH perjalanan masih panjang lagi kalau diberikan usia yang panjang, jadikan ia suatu pengalaman untuk ditempuhi pada pertarungan akan datang," komen pelumba basikal kebangsaan, Hariff Salleh yang turut memberikan reaksi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram