JDT boleh guna skrip lama risik 'ex' kelab Corbin-Ong perkuat Harimau Selatan


  • Podium
  • Jumaat, 07 Jun 2024

Sebelum Corbin-Ong menyertai JDT, dia pernah mewakili Go Ahead Eagles pada 2018.

JOHOR Darul Ta'zim (JDT) pastinya mahu mencari pengganti La'Vere Corbin-Ong yang semakin berusia untuk meneruskan kekebalan legasi bintang pertahanan Harimau Selatan itu.

Musim ini, Corbin-Ong sudah berusia 33 tahun dan masih menjadi tonggak utama Harimau Selatan meskipun pihak pengurusan JDT membawa pemain baharu di posisi tersebut.

Sejak menyertai JDT pada 2018, kedudukan Corbin-Ong sebagai pertahanan kiri pasukan tidak tergugat walaupun menyaksikan kemasukan pemain baharu silih berganti.

BACA LAGI: 'Bukan sebab di SSI', Ramon Marcote perjelas isu kontrak Selangor, tinggalkan pesanan buat Nidzam Jamil

BACA LAGI: [VIDEO] 'Masih dekat di hati', Benjamin Mora guna pendekatan TMJ bersama kelab baharu

Malah, Corbin-Ong tampil dalam 155 perlawanan serta merekodkan enam jaringan gol serta 20 assist sepanjang permainannya bersama Harimau Selatan.

Manakala dalam kem kebangsaan pula, tiada pemain yang dilihat masih dapat menggantikan Corbin-Ong kerana kemahiran yang dimiliki pemain itu.

Ketika ini, pemain pertahanan kanan kelab Belanda, Go Ahead Eagles, Mats Deijl dikaitkan dengan Malaysia kerana didakwa memiliki darah di negara ini menerusi sebelah bapanya, tetapi masih belum dipastikan kesahihannya.

Deijl yang lahir di Vlaardingen beraksi di posisi bek kanan bersama Go Ahead Eagles sejak 2021 dan berjaya buat 109 penampilan selain menjaringkan lima gol serta sembilan 'assist'.

Kehadiran Deijl berpotensi menambah kekuatan khususnya di posisi benteng Harimau Selatan yang kini mempunyai ramai pemain pertahanan yang sudah berusia.

Selain itu, Deijl berpotensi menambah kekuatan pertahanan skuad Harimau Malaya untuk kelayakan Piala Dunia 2026 jika skuad kebangsaan mampu meneruskan misi layak ke pusingan seterusnya.

Lebih menarik, Deijl adalah seorang pemain utiliti. Selain pertahanan kanan, dia juga boleh bermain di bahagian pertahanan tengah sebelah kiri serta sayap kanan.

Deijl dinilaikan lebih RM6.1 juta (€1.2 juta). JDT mungkin perlu pecahkan 'tabung' untuk dapatkannya.

Untuk info, sebelum Corbin-Ong menyertai JDT, dia pernah mewakili Go Ahead Eagles sama seperti Mats Deijl. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram