Tengah 'peak' ke kelab tiada gaji antara 3 perpindahan paling pelik Liga M


  • Podium
  • Jumaat, 07 Jun 2024

Sumareh beraksi bersama Perlis United selama semusim, iaitu pada 2016.

SETIAP kali jendela perpindahan singgah di saingan Liga Malaysia (Liga M), pasti berita penghijrahan pemain domestik mahupun import akan menjadi topik utama dibincangkan para penyokong.

Musim ini, pelbagai perpindahan pemain menjadi sorotan penyokong seperti Brendan Gan meninggalkan Selangor meskipun sudah membawa Gergasi Merah ke pentas Asia. Kini, tonggak tengah itu bersama Kuala Lumpur (KL) City FC.

Ada juga berita pemain tengah berpengalaman, Leandro Velazquez melepaskan jersi Johor Darul Ta'zim (JDT) walaupun khabar angin mengaitkan dia dengan projek naturalisasi negara.

BACA LAGI: Pengarah teknikal bekerja untuk kelab, bukan penyokong — Legenda Selangor

BACA LAGI: Selain Bambang Pamungkas, bekas coach HM antara 3 nama boleh ganti Dennis Bekking

Selain dua berita tersebut, ada juga perpindahan yang menyajikan pelbagai cerita yang unik dan tidak dijangka. Penghijrahan sebegini kadang kala termasuk dalam kategori agak pelik pernah berlaku.

Definisi perpindahan pelik seperti kelab membawa masuk pemain yang tidak dijangka atau tidak sangat diperlukan kerana mempunyai stok pemain yang banyak sehingga akhirnya perpindahan pemain itu dianggap sia-sia.

Malah, ada juga situasi seperti pemain tengah berada pada puncak karier namun secara tiba-tiba menyertai pasukan kerdil yang mempunyai sejarah hitam seperti masalah tunggakan gaji.

Termasuk berita perpindahan pada musim ini melibatkan pemain kebangsaan ke saingan Liga A1 Semi-Pro, Majoriti menyenaraikan tiga perpindahan rawak dan agak pelik pernah berlaku dalam saingan Liga M.

1) Sumareh ke Perlis United

Mohamadou Sumareh antara salah satu nama terbesar dalam Harimau Selatan namun siapa sangka penyerang sayap ini pernah membuat kejutan dengan berhijrah ke pasukan kerdil liga domestik iaitu Perlis United FC pada suatu ketika dahulu.

Sumareh ketika itu meninggalkan PDRM FC untuk menyertai skuad Singa Utara dan pemain kelahiran Gambia berkenaan beraksi dalam pasukan itu selama semusim, iaitu pada 2016.

WhatsApp Image 2024-06-06 at 23.49.44

Sumareh pernah beraksi untuk Perlis FA sebelum dinaturalisasikan oleh pasukan Sri Pahang pada 2016. — Facebook/PerlisUnited

Perpindahan Sumareh boleh dianggap sedikit janggal susulan ketika itu pemain berkenaan berada pada di puncak kariernya namun memilih untuk berhijrah ke pasukan yang dirundung masalah gaji.

Meskipun skuad Singa Utara ketika itu beraksi dalam Liga Perdana, pemain yang mesra dengan sapaan Keli tersebut masih berjaya mencipta nama sehingga disambar Pahang FA.

2. R. Kogileswaran ke BR Damansara

Dari saingan Liga Korea Selatan ke Liga A1 Semi Pro. Demikianlah kisah bekas pemain kebangsaan, R. Kogileswaran yang kini secara rasminya menyarung jersi pasukan Liga A1 Semi Pro iaitu Bunga Raya (BR) Damansara.

Kogileswaran atau lebih mesra dengan sapaan Kogi pernah beraksi untuk kelab Korea Selatan, Chungbuk Cheongju namun kontraknya yang selama setahun itu ditamatkan lebih awal terhadap isu yang menyukarkan penyerang sayap kanan itu di sana.

WhatsApp Image 2024-06-06 at 23.52.02

Kogileswaran menyarung jersi pasukan Liga A1 Semi Pro iaitu BR Damansara. — Facebook/BRDFC

Penghijrahan Kogi ke pasukan baharu itu menimbulkan persoalan penyokong lagi-lagi jika dilihat pengalamannya yang pernah beraksi bersama beberapa pasukan Liga Super seperti Penang FC, Petaling Jaya City dan Sri Pahang FC.

Baru-baru ini, Kogi masih menunjukkan bisanya sebagai salah seorang penyerang kanan terbaik apabila tersenarai sebagai salah satu penjaring pada aksi debut BR Damansara yang mencatat kemenangan besar 4-0 menewaskan Harini FC.

3. Safuwan ke PDRM FC

Safuwan Baharudin dikenali sebagai tonggak pertahanan Selangor FC namun bintang bola sepak Singapura itu pernah mengikat kontrak dengan PDRM FC yang kini terkenal dengan jolokan 'The Giant Killer'.

Perpindahan berkenaan dianggap sebagai satu penghijrahan yang mengejutkan penyokong bola sepak tanah air susulan dia berpengalaman beraksi dengan Melbourne City FC dalam Liga Australia pada musim 2014.

WhatsApp Image 2024-06-06 at 23.56.26

Safuwan beraksi selama semusim bersama PDRM FC sebelum meninggalkan pasukan itu pada 2017. — Facebook/PDRMFC

Bek tengah itu bagaimanapun hanya beraksi selama semusim bersama The Cops dan menyertai Sri Pahang pada tahun berikutnya. Sepanjang dua musim bersama Pahang, Safuwan antara tonggak utama dalam memperkasakan jentera pertahanan Tok Gajah.

Kini, bek berusia 32 tahun berkenaan antara tonggak Selangor yang konsisten dengan persembahan cemerlang mereka dan Safuwan juga mendapat kepercayaan untuk menjadi ketua pasukan Gergasi Merah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram