[VIDEO] Bekas arkitek Sang Kenari mahu putar masa, kesal 'banyak main' ketika sarung jersi HM


  • Podium
  • Rabu, 05 Jun 2024

Mohd Faizal (belakang, dua dari kanan) ketika bersama skuad Kedah. — Kedah Football

NAMA Mohd Faizal Abu Bakar cukup dikenali dalam kalangan penyokong Kedah Darul Aman (KDA) FC apabila tonggak tengah berkenaan merupakan watak utama skuad Hijau Kuning bagi musim 2008 hingga 2014.

Mohd Faizal juga merupakan antara pemain yang memperkuatkan pasukan Hijau Kuning sehingga mencipta 'double treble' dengan meraih tiga trofi bagi dua musim berturut-turut iaitu pada 2008-2009.

Pencapaian menjadi pasukan pertama Liga Malaysia (Liga M) yang meraih gelaran berkenaan juga secara tidak langsung meletakkan skuad Sang Kenari ketika itu sebagai pasukan terbaik pernah dibentuk dalam sejarah bola sepak Kedah.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Arif Aiman bagus sebab pasukan dia harmoni', tonggak double treble Kedah kongsi kisah bersara awal

BACA LAGI: [VIDEO] Kini di puncak karier, tapi Raja Imran sudah ada pelan lepas gantung but

Bekas pemain yang kini berusia 33 tahun berkenaan bukan sahaja berada dalam lipatan sejarah Kedah, malah Mohd Faizal juga pernah mencipta kenangan manis bersama skuad bola sepak kebangsaan.

Anak jati Kuala Nerang, Padang Terap, Kedah itu menerima penampilan pertamanya untuk Malaysia dalam perlawanan persahabatan menentang Yaman pada Februari 2010, yang menyaksikan Harimau Malaya menang 1-0.

Walaupun hanya menyerikan kem Harimau Malaya dari tahun 2010 sehingga 2012, namun Mohd Faizal akui masih merindui momen bersama skuad kebangsaan dan mahu bermain bersungguh-sungguh bersama Malaysia sekiranya dapat mengundurkan masa semula.

Hasrat tersebut dikemukan oleh Mohd Faizal rentetan pemain berkenaan masih mempunyai penyesalan tidak beraksi dengan bersungguh-sungguh sehingga menyaksikan dia hanya meraih dua penampilan bersama Harimau Malaya.

"Kalau saya boleh putar kembali masa, memang saya akan bersungguh-sungguh. Saya sempat main tiga tahun, mula main bersama skuad kebangsaan pada 2010 hingga 2012. Kalau dapat putar masa, saya nak ubah diri saya. Banyak yang saya bazirkan masa.

"Saya tidak bersungguh-sungguh, macam-macam saya buat. Boleh katakan masa itu saya kejutan budaya, rasa macam artis. Sepatutnya seorang pemain kena rasa humble," katanya memetik program Nindia terbitan Astro Arena baru-baru ini.

Walaupun tidak banyak beraksi bersama skuad kebangsaan, Mohd Faizal atau dikenali sebagai Sepet berhasil mengecapi kenangan manis dengan membantu pasukan itu bergelar juara Piala AFF Suzuki 2010.

Menurut Mohd Faizal, kenangan terpaksa dibawa menaiki kereta perisai jenis Barracuda milik pihak berkuasa Indonesia keluar dari stadium bagi memastikan keselamatan mereka antara pengalaman paling sukar dilupakan.

Untuk rekod, pemain yang pernah beraksi bersama Kelantan FC, PDRM FC dan Negeri Sembilan FC itu bersara dari dunia bola sepak pada 2020 dan kini mengusahakan sebuah akademi bola sepak di Pokok Sena, Kedah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram