[VIDEO] Bukan semua teruk, bapa terharu anak cedera dibantu rakan sepasukan walaupun baru 2 hari berlatih main bola


  • Podium
  • Rabu, 05 Jun 2024

Tangkap layar dari rakaman memaparkan sekumpulan pemain muda membantu lawannya yang mengalami kecederaan ketika perlawanan.

BARU-BARU ini, tular satu video di media sosial memaparkan seorang kanak-kanak difahamkan berusia di bawah lapan tahun bertindak kasar dalam perlawanan bola sepak.

Selain bertindak melakukan kekasaran melulu, dia juga kelihatan tidak menerima kad kuning yang dilayangkan terhadapnya setelah membuat terjahan keras.

Perkongsian berkenaan kemudiannya mendapat respons orang ramai yang berasakan ibu bapa dan jurulatih sepatutnya lebih peka akan situasi sebenar kanak-kanak berkenaan.

BACA LAGI: Isu pemain kanak-kanak 'tantrum' tidak normal — jurulatih akademi bola sepak

BACA LAGI: [VIDEO] Tackle tak fikir panjang, pemain bola patah kaki berisiko rosak saraf lepas kena 'sodok'

2732734

Pergaduhan yang berlaku dalam kalangan kanak-kanak mencalarkan imej bola sepak sosial.

Malah, ada yang berasakan sukan bola sepak tidak lagi sesuai dalam landskap hari ini kerana masa depan tidak jelas sukan itu menjadikannya pilihan kurang sesuai untuk mengamalkan gaya hidup sihat.

Bagaimanapun, dalam video berlainan yang tular, kelihatan sekumpulan pemain cilik membantu lawannya yang mengalami kecederaan dengan rakaman itu membuka mata orang ramai.

Dalam klip dikongsikan Sathish Kumar Batumelai pada Ahad, seorang kanak-kanak cedera sehingga membuatkannya tidak dapat berjalan ke tepi padang dalam aksi yang difahamkan berlangsung di Klang, Selangor.

"Terharu melihat semangat kekitaan yang tinggi walaupun baru kali kedua anak saya menghadiri latihan bola sepak ini," kata pengguna media sosial tersebut.

Lebih menarik lagi, pemain yang cedera itu berbangsa India sementara yang membantunya adalah kanak-kanak Melayu, sekali gus membuktikan semangat perpaduan.

Video itu sekali gus membuatkan orang ramai sedar bahawa bola sepak boleh menjadi sukan yang menyihatkan selain menjadi medium penyatuan antara satu sama lain.

"Saya pun hantar anak main bola di peringkat kelab. Tujuan saya nak bagi dia bersosial secara sihat sahaja. Pandai tak pandai, itu belakang kira," kata Mohd Fadili.

"Tahniah. Inilah dia. Sukan itu menyatukan," kata Din Kagawa.

"Semangat kesukanan. Yang lebih perpaduan, itulah makna kita satu Malaysia," kata Noriza Pa.

Sekiranya semangat sedemikian diteruskan, bola sepak sudah tentu menjadi sukan terbaik sebagai platform menyatupadukan orang ramai tanpa mengira latar belakang.

Bagaimanapun, jika usaha berkenaan tidak disokong, generasi akan datang pasti akan melihatnya tidak lebih daripada permainan kasar dengan tiada sebarang nilai murni disebaliknya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram