[VIDEO] 'Arif Aiman bagus sebab pasukan dia harmoni', tonggak double treble Kedah kongsi kisah bersara awal


  • Podium
  • Sabtu, 03 Feb 2024

Arif Aiman (kiri) dan Mohd Faizal kedua-duanya berada di usia muda ketika pasukan mereka berjaya mencapai kemuncak prestasi di Liga Malaysia. — Agensi

BAGI peminat bola sepak Kedah, tahun 2008 dan 2009 merupakan zaman kegemilangan yang pastinya sukar untuk dilupakan.

Ini kerana dalam tempoh tersebut, pasukan kesayangan mereka berjaya mencipta 'double treble' dengan meraih tiga trofi bagi dua musim berturut-turut.

Pencapaian itu juga meletakkan pasukan tersebut sebagai skuad terbaik pernah dibentuk dalam sejarah bola sepak Kedah.

Mengulas mengenai kejayaan tersebut, salah seorang daripada bekas tonggak utama pasukan berkenaan, Mohd Faizal Abu Bakar berkata, kecemerlangan yang diperolehi itu berpunca antara lain kerana keharmonian yang terbentuk dalam kalangan pemain.

“Yang bagusnya masa itu semua player ini satu hati.

“Saya waktu itu masih baru lagi, tapi bila duduk dengan player yang dah pangkat abang-abang macam pak long (Ahmad Fauzi Saari) dan Shafizan Hashim semua, mereka ini memang group yang satu hati,” katanya yang beraksi sebagai pemain tengah.

Dia berkata demikian menerusi satu temu bual bersama portal Harimau Malaya yang disiarkan pada Sabtu.

Dalam pada itu, Faizal berkata, keharmonian di dalam bilik persalinan itu juga sangat membantu memberikan keyakinan terhadap pemain muda sepertinya yang ketika itu baru sahaja menyertai pasukan.

1992486

Arif Aiman menarik tumpuan pasukan luar negara dengan kelincahan yang dimiliki olehnya. — Instagram/ariifaiman42

Malah, dia berpandangan bahawa aspek seperti itu juga menjadi antara punca utama menyebabkan pemain seperti bintang baharu negara, Arif Aiman Hanapi mampu menyerlahkan bakatnya ketika bersama Johor Darul Takzim (JDT).

“Seronok bila team harmoni macam itu, kita yang muda main pun dia akan jadi confident cepat. Itu yang berlaku dekat Arif Aiman sekarang ni.

“Sebabkan team harmoni, dia sebagai player muda masuk akan nampak lebih bagus,” ujarnya.

Sepanjang kariernya, Mohd Faizal turut pernah mewakili beberapa pasukan utama Liga Malaysia selepas meninggalkan Kedah antaranya seperti PDRM FC, Kelantan, Negeri Sembilan dan yang terakhir Melaka United.

kedah2011_02

Mohd Faizal (belakang, dua dari kanan) ketika bersama skuad Kedah.Kedah Football

Mengulas mengenai tindakannya untuk memilih bersara awal, dia yang kini baru berusia 33 tahun berkata, keputusan itu diambil kerana keperluan untuk menjaga ayahnya yang mengalami kanser usus.

“Masa itu saya baru duduk Melaka, kemudian dapat berita mengatakan ayah saya sakit kanser usus. Jadi masa itu adik beradik saya ada yang kerja di Kuala Lumpur. Kemudian yang seorang lagi pun sakit juga.

“Kebetulan waktu itu pun saya tengah off season cuti panjang. Kemudian kontrak bersama pasukan pun dah tamat. Jadibila dah balik rumah itu memang dah tak fikir langsung pasal bola.

“Kemudian mak saya pun tak boleh bawa kereta. Jadi, tanggungjawab tu macam jatuh dekat kita. Waktu nak ambil keputusan itu macam berat juga, tapi bila fikir mak ayah, dia (keputusan) jadi kurang berat,” ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram