PENYERANG sayap Sabah FC, Saddil Ramdani antara pemain yang dipercayai akan memainkan peranan penting untuk aksi Liga Malaysia (Liga M) 2024/2025 dengan pasukan itu bakal diletakkan antara pasukan pilihan musim ini.
Sejak menyertai The Rhinos pada musim 2021, pemain berusia 25 tahun berkenaan sentiasa memberikan persembahan terbaik buat Sabah dan mempunyai rekod mengagumkan dari segi gol dan hantaran bantuan.
Selepas tampil dalam 69 perlawanan bersama Sabah sejak musim 2021, pemain import dari Indonesia berkenaan sudah mencetak 15 gol dan merekodkan 26 hantaran bantuan buat The Rhinos.
BACA LAGI: Neymar Malaysia antara 3 pemain sesuai ganti Darren Lok sebagai penggempur utama Sabah
Walaupun mempunyai minit permainan yang memberangsangkan dan sumbangan banyak di bahagian serangan namun Saddil tidak dapat menarik hati Shin Tae-yong untuk memanggilnya bermain bersama pasukan kebangsaan Indonesia.
Pemain sayap kiri berkenaan sering dikritik oleh penyokong Indonesia sehinggakan Saddil tersisih daripada skuad Piala Asia skuad Sang Garuda pada awal tahun ini dan beberapa perlawanan lain.
Susulan nasib kurang menyebelahi melanda Saddil itu, pengendali Sabah FC iaitu Datuk Ong Kim Swee tampil memberi pendapatnya dan memberi nasihat kepada bekas pemain Sri Pahang tersebut.
"Saddil masih sangat muda, dia seorang pemain muda yang cukup berbakat. Kebiasaan pemain yang bagus mempunyai emosi. Yang penting bagi saya Saddil agar fokus dengan kariernya.
"Saya percaya jika Saddil semakin fokus dan matang akan menjadi aset buat Indonesia seperti di Sabah, dia sentiasa memberi prestasi terbaik. Saddil perlu pelajarinya, perlu memastikan segala peraturan yang ditetapkan oleh setiap jutulatih harus diikuti.
"Saya berharap Saddil akan mendapat peluang kembali bersama Indonesia. saya percaya dia sudah menerima kritikan," katanya memetik video temubual bersama GOAL Indonesia baru-baru ini.
Kim Swee percaya sekiranya bekas pemain Bhayangkara itu terus belajar dan menerima segala kritikan yang dilemparkan kepadanya, Saddil bakal lebih menyerlah selepas ini dan sering menerima panggilan untuk mewakili Indonesia.
Tambah bekas pengendali skuad bola sepak tanah air itu, pemain muda seperti Saddil inginkan sedikit kebebasan dan tidak ingin terikat dengan peraturan namun sikap sebegitu rupa masih boleh diubah.
Antara aksi Saddil dalam perlawanan Liga Super musim ini. — Facebook/Sabah FC
"Saddil begitu sensitif tapi mempunyai niat yang cukup baik. Saddil sensitif bila kita meletakkan syarat-syarat tertentu, kemungkinan dia ingin lebih bebas. Saddil boleh menerima kritikan dan saya pernah bertegang urat dengannya tapi dia faham.
"Pemain muda ini perlu dibimbing dan mereka perlu terima dan belajar. Kalau saddil dibiarkan, akan menyukarkan kariernya kerana dia ada potensi bermain di peringkat lebih tinggi," jelasnya.
Bercakap mengenai panggilan beraksi bersama pasukan Indonesia, nama Saddil terus tersisih dari senarai pemain untuk Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 selepas Tae-yong lebih cenderung untuk memilih pemain yang beraksi di Eropah.
Pasukan kebangsaan Indonesia sedang bersiap sedia menghadapi Iraq dan Filipina dalam pusingan Kelayakan Piala Dunia 2026. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram