Kapten percayakan Pan-gon, bawa Harimau Malaya ke pusingan seterusnya


  • Podium
  • Rabu, 05 Jun 2024

Pan-gon percaya akan peluang dimiliki pasukannya yang kini berada di kedudukan ketiga Kumpulan D selepas empat perlawanan. — FAM

PENGENDALI Harimau Malaya, Kim Pan-gon menegaskan anak-anak buahnya sudah bersedia untuk turun menentang Kyrgyzstan dalam aksi pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada Khamis.

Pan-gon berkata demikian ketika sidang media sebelum perlawanan, selain turut mengakui aksi di tempat lawan sentiasa sukar dan pasukan tuan rumah memiliki kualiti tersendiri.

“Kedua-dua pasukan tahu ini merupakan perlawanan penting dalam kempen kelayakan. Pemenang mungkin akan mendapat tiket untuk menjadi antara 18 pasukan terbaik. Bagi Malaysia, kami sedar perlawanan di tempat lawan adalah sukar kerana Kyrgyzstan mempunyai kualiti. Mungkin ada beberapa perkara tidak memihak kami," katanya.

BACA LAGI: Lama tak main skuad senior, Pan-gon cabar Haqimi Azim jadi 'goal-getter'

BACA LAGI: Konsisten atas padang tapi sayangnya Afro, Fadhli Shas dan Nijey jarang jadi pilihan Pan-gon

445502671_1161924571547444_4685568658335564146_n

Persiapan skuad kebangsaan diteruskan di negara Asia Tengah berkenaan. Facebook/FAM

Selepas empat perlawanan, skuad kebangsaan berada di tangga ketiga Kumpulan D dengan enam mata dikutip setakat ini dengan tiga lagi diperlukan untuk menduduki kedudukan teratas.

Kemenangan di Stadium Spartak Kyrgyzstan akan melonjak mereka ke kedudukan teratas, sekali gus membuka peluang cerah buat pasukan itu untuk ke pusingan seterusnya.

“Apa sahaja perkara yang berlaku tidak dapat menghentikan kami kerana kami mempunyai semangat, keinginan untuk berada dalam 18 pasukan terbaik.

"Kami menjalani persiapan yang baik minggu lalu. Saya percaya semua pihak mempunyai keyakinan yang tinggi. Kami tidak sabar untuk menampilkan prestasi terbaik dan memberikan kemenangan kepada rakyat Malaysia,” kata Kim Pan-gon.

20240605142229_0R1A3450 (1)

Dion Cools yakin latihan diadakan sudah cukup untuk memberikan pemain Harimau Malaya kesungguhan. FAM

Dalam pada itu, kapten pasukan, Dion Cools turut berpendapat dia dan rakan sepasukan sudah bersedia untuk memberikan cabaran sengit kepada pasukan tuan rumah dan membawa pulang tiga mata.

“Kami berlatih dengan baik sebelum datang ke sini. Saya rasa semua sedar betapa pentingnya perlawanan kali ini. Kita dapat melihat semua pemain bersemangat ketika menjalani sesi latihan.

“Kami sudah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk menghadapi Kyrgyzstan. Ini merupakan perlawanan hidup dan mati bagi kami dan sudah pasti kami mencari kemenangan,” katanya.

Selepas berdepan Kyrgyzstan, Harimau Malaya akan turun menentang Taiwan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 11 Jun depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram