Lepas pulih kecederaan buku lali, Aguero mahu rampas kesebelasan utama


  • Podium
  • Selasa, 04 Jun 2024

Aguero membuat satu penampilan sebagai pemain gantian setakat ini dalam Liga Super untuk Tok Gajah. — Instagram/SergioAguero

ARKITEK Sri Pahang, Sergio Aguero berharap untuk mendapat permulaan yang lebih baik dalam Liga Super musim 2024/2025 tetapi kecederaan buku lali yang dialaminya merosakkan rancangan pemain naturalisasi negara itu.

Aguero yang sudah semakin pulih daripada kecederaannya itu, pemain kelahiran Argentina berkenaan berikrar untuk kembali lebih kuat selepas cuti rehat antarabangsa selesai.

Penyerang yang mampu beraksi sebagai pemain tengah menyerang itu hanya membuat satu penampilan sebagai pemain gantian setakat ini dalam Liga Super untuk Tok Gajah dengan mereka kini berada di tangga kelima, mengutip empat mata daripada dua perlawanan.

BACA LAGI: Naik kerusi roda ambil pingat, giliran Reziq Bani pula 'berehat'

BACA LAGI: [VIDEO] Penyokong Indonesia 'berdekah' tengok bas Selangor sangkut bawah jambatan

Dalam perlawanan pertama menentang Kelantan, pengendali Sri Pahang iaitu Fandi Ahmad menurunkan penyerang kedua Ukraine, Mykola Ahapov dalam kemenangan 1-0 pada bulan lalu dan Aguero hanya bermain selama 15 minit sebagai pemain simpanan.

Dalam keputusan seri 2-2 menentang Kuching City pula, pemain berusia 30 tahun itu hanya memanaskan bangku simpanan sepanjang perlawanan.

Aquero berkata, dia akan cergas sepenuhnya untuk perlawanan akan datang selepas kecederaan buku lali yang dilaluinya sudah semakin pulih.

“Saya berlatih bersungguh-sungguh untuk memastikan tempat saya dalam kesebelasan utama. Kami mempunyai ramai pemain berbakat tahun ini dan antara pasukan yang kuat secara keseluruhan pada musim ini.

“Saya sentiasa yakin dengan kebolehan saya dan fokus untuk melakukan yang terbaik untuk membantu pasukan berjaya. Matlamat saya adalah untuk terus menambah baik dan menjadi versi terbaik diri saya.

WhatsApp Image 2024-06-04 at 14.17.56 (1)

Aguero berhasrat untuk kembali memberi saingan kepada pemain lain. — Instagram/SergioAguero

“Tahun lepas adalah musim yang baik untuk saya, dan tahun ini saya berhasrat untuk beraksi lebih baik untuk membantu Pahang mencapai keputusan terbaik dalam saingan liga," katanya.

Pemain Harimau Malaya berkenaan mengakui bahawa mempunyai komunikasi yang baik dengan jurulatih adalah penting.

“Kami sentiasa bercakap dengan jurulatih dan mempunyai keyakinan antara satu sama lain. Saya akan sentiasa mengikut keputusannya kerana dia mahukan yang terbaik untuk pasukan," tambahnya.

Pada saingan musim lepas, Aguero tampil beraksi dalam 20 perlawanan di semua pertandingan dan menjaringkan lima gol.

Walaupun dia masih aktif bersama kelab, Aguero masih mahu menambah satu lagi perniagaan sukan apabila mendedahkan dia telah membuka gelanggang padel di Kuantan.

WhatsApp Image 2024-06-04 at 14.17.56

Aguero memiliki tiga gelanggang futsal di Kuantan. — Instagram/SergioAguero

Padel adalah sukan raket yang berasal dari Mexico, biasanya dimainkan secara beregu di gelanggang tertutup.

“Saya dan isteri ingin mempromosikan sukan ini dan gaya hidup sihat ini. Saya bermain padel 10 tahun lalu di Argentina dan ia adalah sukan yang menakjubkan untuk semua peringkat umur.

“Selain itu, ia adalah salah satu sukan yang paling pesat berkembang di dunia dan ramai orang terkemuka memainkannya. Malah Cristiano Ronaldo telah melabur dalam sukan itu. Kami fikir ia bagus untuk memilikinya di Kuantan," kongsinya yang juga memiliki tiga gelanggang futsal di daerah tersebut. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram