PELARI pecut muda negara, Muhammad Fiross Mohd Faizal mencipta sensasi di bumi Vietnam apabila memecahkan rekod sebanyak dua kali dalam Temasya Sukan Sekolah-Sekolah Asean 2024.
Menyertai acara 110m lari berpagar, Fiross memecahkan rekod sebanyak dua kali di peringkat separuh akhir dan akhir untuk membawa pulang pingat emas buat Malaysia.
Menurut perkongsian video oleh pemerhati sukan, Karl Nunis, Fiross memecahkan rekod di separuh akhir dengan mencatatkan catatan masa 13.45 saat.
BACA LAGI: [VIDEO] SNBJ terbuka untuk kegunaan sekolah tapi terhad kepada trek olahraga
BACA LAGI: [VIDEO] Larian deras atlet cilik Sabah gegarkan bumi Australia
Namun begitu, Fiross terus mencetuskan kegemilangan apabila larian deras di perlumbaan akhir membolehkannya dia melepasi garisan penamat dengan catatan masa 13.17 saat.
Lebih manis buat kontinjen Malaysia, dua tempat teratas dimiliki oleh pelari pecut negara dengan Muhammad Shahrul Aiman Khailin membawa pulang pingat perak.
Shahrul mencatatkan catatan masa selama 13.49 saat, meninggalkan pelari Singapura iaitu Lucas Fun Le Cong yang membawa pulang pingat gangsa.
Kejayaan yang diraih oleh Fiross dan Shahrul itu bukan saja yang diperoleh kontinjen negara dari acara balapan dan padang.
Selain mereka, atlet rejam lembing, Mary Jane Juberin membawa pulang pingat gangsa selepas menamatkan saingan di belakang wakil Filipina dan Thailand.
Setakat hari kelima temasya, Malaysia menduduki kedudukan ketiga keseluruhan apabila meraih 4 emas, 7 perak dan 5 gangsa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram