'Semua mesti kena sekali,' Tan Boon Heong cerita pengalaman jadi mangsa 'scam' RM2.5 juta


  • Podium
  • Selasa, 04 Jun 2024

Tan Boon Heong mendedahkan dia pernah menjadi mangsa penipuan bernilai jutaan ringgit.

BEKAS pemain beregu lelaki negara, Tan Boon Heong mendedahkan yang dia juga pernah mengalami episod hitam menjadi mangsa sindiket penipuan.

Memetik laporan Berita Harian, bekas pemenang pingat emas Sukan Asia 2006 bersama Koo Kien Keat itu mengatakan dia ditipu dengan sejumlah wang yang cukup besar sebanyak dua kali.

Dia berkata demikian selepas melihat pemain beregu campuran, Lai Pei Jing menjadi mangsa sindiket penipuan baru-baru ini.

BACA LAGI: Simpanan berpuluh tahun lesap, atlet badminton wanita negara jadi mangsa sindiket scam

BACA LAGI: Skuad badminton negara tersungkur suku akhir Terbuka Singapura

Lai-Pei-VICTOR-India

Lai Pei Jing hilang hampir kesemua wang simpannya.

Menurut Boon Heong, dia mengalami kerugian yang begitu teruk sewaktu ditipu apabila wangnya sebanyak RM2.5 juta lesap. Selepas itu, dia ditipu sekali lagi untuk kali kedua dengan kerugian sebanyak RM160,000.

Lebih perit, Boon Heong ditipu oleh seseorang yang dikenali olehnya.

"Saya ditipu sebanyak dua kali, sekali berjumlah AS$500,000 (RM2.3 juta) dan sekali lagi RM160,000. Jika anda benar-benar mahu melabur, anda sepatutnya menjadi pegawai bank dan bukannya pemain.

"Ingat, memberikan wang hasil titik peluh anda ke tangan orang lain dan mengharapkan untuk mendapatkannya kembali adalah mustahil. Saya cadangkan fokus pada apa yang anda boleh kawal.

"Jika anda tidak boleh kawalnya, jangan terlibat," kata Boon Heong.

Boon Heong menceritakan semula pengalaman peritnya itu selepas kisah Pei Jing menjadi mangsa sindiket penipuan tersebar dan memberikan kesan kepadanya.

Pei Jing dilaporkan hilang hampir kesemua wang simpanannya yang diraih sepanjang bergelar pemain badminton profesional.

"Setiap penipuan yang anda alami, ia mengajar anda sesuatu. Itulah kehidupan — anda tidak boleh mengelak, setiap orang perlu mengalaminya sekurang-kurangnya sekali," ujar Boon Heong. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram