[VIDEO] SNBJ terbuka untuk kegunaan sekolah tapi terhad kepada trek olahraga


  • Podium
  • Khamis, 12 Okt 2023

Hannah bagaimanapun tidak membenarkan penggunaan padang kerana dikhuatiri akan merosakkan kualitinya.

INISIATIF Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk membuka Stadium Nasional Bukit Jalil kepada penggunaan ramai bakal diteruskan, menurut menterinya, Hannah Yeoh.

Dalam satu sidang media selepas Majlis Pelancaran Padang Stadium Nasional Kuala Lumpur Sports City, dia berkata, usaha itu dibuat untuk menaikkan semangat anak-anak muda untuk terlibat dalam sukan tanah air.

"Untuk sukan olahraga, ia merupakan perkara utama yang ditekankan KBS. Seperti yang kita tahu dalam Sukan Asia baru-baru ini, apabila olahraga menang, semangat negara memang melonjak.

"Jadi, Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) sudah membuat keputusan kerana ini adalah usaha untuk merakyatkan fasiliti KBS kepada orang ramai," katanya.

Jelasnya, tempahan stadium boleh dibuat pada Isnin sehingga Khamis ketika venue tersebut tidak digunakan dengan usaha terbabit dibuat untuk menggalakkan semangat kesukanan dalam kalangan golongan muda.

Sebelum ini, Hannah mengumumkan stadium berkapasiti 85,000 itu bakal dibuka untuk digunakan kepada sekolah seluruh negara secara percuma yang mahu mengadakan hari sukan.

Selain Stadium Nasional Bukit Jalil, mereka juga menawarkan dua venue lain iaitu Kompleks Sukan Jalan Duta dan Kompleks Sukan Bukit Kiara, Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, menurutnya lagi, penggunaan padang kepada pihak sekolah masih belum dibenarkan kerana dikhuatiri akan menjejaskan fasiliti tersebut.

"Setakat ini, hanya trek olahraga kerana jika dianjurkan acara yang menggunakan cat, ia tidak boleh setakat ini," katanya lagi.

Dalam majlis berkenaan, Hannah disertai Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Idris serta Pengerusi PSM, Datuk Hans Isaac untuk merasmikan padang serta tapak semaian baharu untuk Stadium Nasional Bukit Jalil.

Berdasarkan laporan, kerja-kerja menaik taraf padang itu menelan perbelanjaan sehingga RM4.7 juta, termasuk untuk mendapatkan peralatan penyelenggaraan.

Venue terbabit bakal digunakan pada Jumaat dalam aksi Pestabola Merdeka antara Harimau Malaya dan India sebelum akan digunakan untuk perlawanan akhir menentang Tajikstan pada 17 Oktober. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram