PEMAIN Sabah FC, Jafri Chew dilihat semakin menemui sentuhan jaringannya selepas mempunyai rekod baik dalam pertandingan jemputan di Indonesia.
Walaupun tidak berjaya membawa Sabah muncul juara RCTI Premium Sports International Tournament, tetapi persembahan Jafri dilihat semakin berkesan terutamanya di depan gol.
Untuk rekod, Jafri menghasilkan dua gol ketika berdepan Selangor FC dan PSIS Semarang.
BACA LAGI: Misteri '4 jari' terjawab, Sabah alami tunggakan gaji sejak Mac — Sumber
BACA LAGI: Neymar Malaysia antara 3 pemain sesuai ganti Darren Lok sebagai penggempur utama Sabah
Jafri (kanan) menghasilkan dua gol di Indonesia. — Sabah Football Club
Menurut Jafri, selain mempunyai rekod jaringan baik, dia menganggap skuad Sabah dapat membaiki persembahan sementara liga sedang berehat hasil penyertaan dalam kejohanan tersebut.
"Kejohanan itu memang bagus untuk pasukan kami sebab sekurang-kurangnya dapat juga buat persiapan yang lebih baik sebelum Liga Malaysia sambung balik.
"Banyak yang kami belajar juga dan dapat tahu di mana kelemahan yang ada selain ini juga peluang bagus untuk menaikkan lagi tahap keyakinan pemain-pemain yang ada dan yang jarang beraksi," kata Jafri menerusi Malaysian Football League (MFL).
Dalam pada itu, Jafri mencongak peluang skuad Badak untuk mara jauh dalam saingan Piala FA.
Berdepan wakil Liga A1 Semi-Pro iaitu Kuala Lumpur Rovers, Jafri mahu membawa Sabah sejauh mungkin dalam kejohanan tersebut walaupun sedar ancaman yang boleh dibawa kelab Lembah Klang itu.
"Banyak lagi yang saya kena perbaiki tetapi tahap keyakinanan sekarang sudah semakin baik untuk saya cuba lagi menjaringkan gol selepas ini.
"Apa pun, kami memang tak ambil mudah untuk lawan KL Rovers sebab kita tahu pemain-pemain mereka adalah berpengalaman dan pernah bermain di Liga Super juga," jelas Jafri. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram