Terbuka Singapura: Pearly-Thinaah terkandas, Tan Jie-Ee Wei mara


  • Podium
  • Selasa, 28 Mei 2024

Gandingan Pearly-Thinaah terkandas di suku akhir Terbuka Singapura.

HASRAT untuk gandingan beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah untuk meraih satu lagi kedudukan podium tidak kesampaian apabila mereka terkandas di peringkat suku akhir Terbuka Singapura.

Selepas berjaya meraih kedudukan podium di Malaysian Masters, gandingan beregu wanita utama negara itu tidak berjaya mencipta rekod serupa di Seberang Tambak.

Mereka ditunjukkan jalan keluar oleh gandingan China, Liu Sheng Shu-Tan Ning dalam perlawanan yang berakhir dengan kekalahan straight set buat pasangan negara.

BACA LAGI: Pearly-Thinaah perlu korban Piala Uber demi pingat Sukan Olimpik — Pakar

BACA LAGI: Prestasi cemerlang All England jadi tonik tambahan Pearly-Thinaah ke Olimpik Paris

Pasangan pilihan ketiga kejohanan itu mudah menewaskan Pearly-Thinaah dengan keputusan 21-10, 21-10. Dengan tewas mudah kepada lawan yang bakal dihadapi mereka di Sukan Olimpik 2024 kelak, pastinya gandingan negara perlu bangkit segara menjelang temasya di Paris, Perancis.

Mereka boleh menebus kekecewaan apabila beraksi pada Terbuka Indonesia yang dijadualkan pada 4 hingga 9 Jun.

Dalam pada itu, gandingan beregu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei berjaya layak ke pusingan 16 terbaik selepas menewaskan rakan senegara iaitu Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin dengan keputusan 21-15, 21-17.

Rentetan kekalahan tersebut, pengikut badminton tempatan nyata kecewa melihat persembahan longlai Pearly-Thinaah.

"Sudah jangka akan kalah tapi bukan dengan keputusan begini. Semoga ada peningkatan di Sukan Olimpik kelak," kata penyokong bernama Fred Young Guy.

"Lepas Sukan Olimpik tukar pasangan beregu sebab sudah mula tak serasi dan kelam kabut," ujar Mat Saka Jea.

"Saya rasa malu sangat lihat persembahan mereka, terutamanya Pearly Tan. Mereka patut malu dengan persembahan mereka," komen Yeslam Alvyn penuh kecewa.

Namun begitu, masih ada yang positif Pearly-Thinaah mampu bangkit dan tampil cemerlang pada waktu diperlukan iaitu dekat Paris kelak.

Kekalahan itu nyata menyakitkan tetapi itu bukan penamatnya.

"Harapnya mereka dapat temui rentak yang sebenar sebelum Sukan Olimpik," kata penyokong bernama Doreen Lim.

"Mereka perlu tingkatkan kekuatan fizikal dan jadi lebih pantas," komen Simon Tan.

"Berusaha sehabis baik dan jangan putus asa," ujar Noridayu Saat memberikan semangat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram