PASUKAN Sabah FC terpaksa berpuas hati dengan keputusan 2-3 selepas tewas di tangan Selangor FC dalam kejohanan empat penjuru yang berlangsung di Indonesia pada Khamis.
Dalam perlawanan itu, Selangor berjaya mendahului Sabah dengan dua ledakan gol hasil jaringan Aliff Haiqal Lau dan jaringan sendiri Park Tae-su pada babak pertama permainan.
Bersambung babak kedua, Sabah cuba bangkit menerusi dua jaringan gol oleh Jaffri Firdaus Chew dan Saddil Ramdani yang berjaya melepasi lima pertahanan Selangor.
BACA LAGI: Neymar Malaysia antara 3 pemain sesuai ganti Darren Lok sebagai penggempur utama Sabah
BACA LAGI: MFL perlu segera tetapkan hukuman tepis persepsi 'sengaja rosakkan rentak Selangor FC'
Namun usaha anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee itu gagal selepas pemain import Selangor, Yohandry Orozco menjaringkan gol untuk memastikan Gergasi Merah layak ke pentas akhir pada Ahad nanti.
Walaupun tewas, aksi Saddil Ramdani mendapat perhatian penyokong Indonesia selepas terpukau dengan corak permainan yang ditampilkan olehnya.
Pemain berusia 25 tahun itu diturunkan pada babak kedua permainan selepas Sang Badak ketinggalan dua gol pada babak pertama.
Kemasukannya jelas memberi masalah kepada skuad kendalian Nidzam Jamil apabila berdepan kekangan untuk mengawal kelincahannya.
Gerakan lincah Saddil pada minit ke-61 membuahkan hasil apabila satu hantaran bijaknya mencari Kwang Kin-ko sebelum Jaffri berjaya membuka akaun jaringan Sabah.
Saddil terus membuktikan impaknya apabila tenang dalam kotak penalti Selangor sebelum memerangkap lima pertahanan lawan sebelum melepaskan satu rembatan kencang untuk menewaskan Khairul Azhan.
Aksi Saddil itu membuatkan pengulas perlawanan terkejut kerana sebelum ini pemain tersebut sering dikritik oleh penyokong Indonesia sehinggakan dia tersisih daripada skuad Piala Asia skuad Sang Garuda.
Untuk Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, nama Saddil terus tersisih dari senarai pemain skuad kebangsaan Indonesia selepas pengendali Sang Garuda, Shin Tae-yong lebih cenderung untuk memilih pemain yang beraksi di Eropah.
Sabah akan beraksi dalam penentuan tempat ketiga menentang PSIS Semarang di Stadium Antarabangsa Jakarta (JIS) manakala Selangor bagi aksi final menentang Persija Jakarta pada Ahad. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram