Bukan tak cuba tapi Vietnam, Brunei pilihan awal aksi friendly — FAM


  • Podium
  • Rabu, 29 Mei 2024

Aksi pemanas badan menentang Vietnam sudah tentu dapat membantu barisan kejurulatihan Harimau Malaya. — Facebook/FAM

MENJELANG dua aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, skuad kebangsaan mengambil pendekatan terbaik dengan mengadakan persiapan awal berbentuk latihan berpusat bermula Selasa.

Meskipun skuad kali ini tidaklah begitu baik, harapan besar diletakkan penyokong untuk menyaksikan Harimau Malaya meraih tiga mata penuh ketika berdepan Kyrgyzstan (6 Jun) dan Taiwan (11 Jun).

Namun, di sebalik kemeriahan berkenaan, berita kurang menyenangkan diterima selepas dilaporkan skuad kendalian Kim Pan-gon hanya akan berdepan sebuah kelab Liga Super sebagai aksi pemanas badan.

BACA LAGI: Isu surat layang: FAM sahkan siasatan SPRM tak dilanjutkan, akan tubuhkan jawatankuasa dalaman

BACA LAGI: Perak dipetik lawan Harimau Malaya, JDT dan TFC patut jadi 'sparring partner'

445373981_1157799278626640_2489188051643228183_n

Persiapan skuad kebangsaan diteruskan menjelang dua aksi getir itu. Facebook/FAM

Pendekatan sedemikian sudah tentu merencatkan perancangan pasukan kerana dikhuatiri keputusan berkenaan tidak dapat membantu penilaian terbaik dibuat terhadap skuad kebangsaan.

Situasi itu menyaksikan penyokong menyalahkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) atas kelewatan membuat perancangan sehingga dikhuatiri akan memberi kesan buruk terhadap persembahan Harimau Malaya.

Bagaimanapun, kegagalan mendapatkan 'sparring partner' terbaik bukanlah sesuatu yang wajar diletakkan di bahu persatuan tersebut kerana mereka sudah menghubungi beberapa lawan bersesuaian.

Namun, Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman mendedahkan negara yang sudah dipilih tidak dapat memeterai perjanjian untuk aksi persahabatan atas pendirian masing-masing.

"Memang kita sedar akan ketiadaan aksi persahabatan berdepan mana-mana skuad kebangsaan, tetapi kita sudah mohon empat atau lima negara untuk aksi persahabatan kerana kita bukan berada dalam Kalendar FIFA.

447011004_1158263938580174_7335589262679977045_n

Noor Azman mendedahkan perancangan awal dimiliki FAM buat Harimau Malaya. Facebook/FAM

"Jadi, apa yang terpaksa kita buat adalah (berdepan) kelab lokal. Saya rasa coach Kim pun amat berpuas hati, cuma memang kita minta dan usaha," katanya.

Jelasnya, Brunei dan Vietnam merupakan antara negara yang diminta FAM untuk mengadakan perlawanan dengan masing-masing boleh dikatakan dapat memberikan ujian buat Harimau Malaya.

Setakat ini, laporan awal mengatakan skuad kebangsaan bakal berdepan Perak FC dalam satu aksi tertutup pada Khamis, namun perkara itu masih belum disahkan.

Namun, dengan gaya permainan ditonjolkan pasukan itu sepanjang musim 2024/25, pemain sudah tentu dapat berada di tahap terbaik sebelum berlepas ke Kyrgyzstan untuk aksi kelima Kumpulan D dalam kempen kelayakan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram